SHAH ALAM – Pemuda UMNO berharap MIC dapat bermuhasabah dan kembali memperkukuh barisan bersama Barisan Nasional (BN) susulan dakwaan parti itu akan keluar daripada gabungan berkenaan.
Exco Pemuda UMNO, Fadzmel Fadzil berkata, ruang perbincangan sentiasa terbuka sama ada di Dewan Tertinggi BN atau menerusi saluran musyawarah yang matang.
Menurutnya, kepimpinan MIC seharusnya menghadiri mesyuarat dan bukannya terus memberi alasan.
“Contohilah Datuk Seri Wee Ka Siong. Walaupun wujud perbezaan pandangan, beliau tetap hadir ke meja perbincangan dan mencari titik temu demi kestabilan bersama.
“Di situlah perbezaan antara kepimpinan yang berakal dan kepimpinan yang mengkhayalkan,” ujarnya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook pada Isnin.
Sebelum ini, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa pihaknya masih belum menerima sebarang surat rasmi daripada MIC berhubung usul parti itu untuk keluar daripada gabungan berkenaan.
Beliau berkata, tiada sebarang keputusan akan dibuat selagi tiada resolusi atau surat rasmi diterima daripada MIC.
Tambah Fadzmel, kesetiaan tidak diuji hanya ketika parti kehilangan kuasa, sebaliknya juga ketika masih wujud sedikit ruang kuasa.
Jelasnya, perkara yang membezakan dan pada masa sama menyatukan adalah nilai kesetiaan dan kejujuran.
“Dalam masa sama, Ketua Pemuda MIC Kebangsaan, K. Arvind perlu melihat sejarah bahawa presiden MIC terawal dahulu membina parti berteraskan prinsip kesetiaan terhadap kerjasama dan kestabilan negara, bukannya politik emosi atau ugutan.
“Nilai inilah yang sepatutnya menjadi panduan kepada seluruh kepimpinan Pemuda MIC,” katanya.
Beliau berpandangan, kenyataan mengenai percanggahan antara kata dan tindakan bukanlah satu rekaan, sebaliknya lahir daripada rentetan peristiwa yang boleh dibaca, dinilai dan dirujuk oleh sesiapa sahaja.