Pemandu treler rempuh tol tidak mengaku pandu bawah pengaruh dadah

Iklan
Pihak polis membawa Noor Azuan (tengah) ke Mahkamah Majistret Shah Alam pada Isnin.

SHAH ALAM – Seorang pemandu treler yang tular dalam insiden rempuhan Plaza Tol Kemuning, Lebuhraya Shah Alam (Kesas) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Isnin atas satu pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah.

Noor Azuan Abdul Rahman, 48, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret, Ameera Mastura Khamis.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, lelaki bujang itu didakwa memandu kenderaan berat berkenaan di bawah pengaruh dadah dan menyebabkan kecederaan ke atas mangsa di lorong Plaza Tol Kemuning dari Klang ke Kuala Lumpur, Lebuhraya Kesas di sini pada jam 9.11 malam 10 Disember lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara antara tujuh hingga 10 tahun dan denda antara RM30,000 hingga RM50,000, jika sabit kesalahan.

Iklan

Noor Azuan (tengah) mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan memandu treler bawah pengaruh dadah, Rabu minggu lalu.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Akhilah Rosmi mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin.

Iklan

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu kadar itu dikurangkan kerana dia perlu menjaga ibu bapa yang uzur termasuk anak saudaranya yang masih kecil.

“Mohon puan kurangkan jaminan, saya rayu kepada puan,” katanya yang hadir dengan ditemani kakak dan ibu yang menggunakan kerusi roda.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Ameera Mastura membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

“Lesen memandu tertuduh digantung sehingga perbicaraan kes ini selesai,” katanya yang menambah sebutan semula untuk serahan dokumen termasuk lantikan peguam pada 12 Februari tahun depan.

Pada Khamis lalu, Sinar Harian melaporkan, seorang penjaga tol bersama enam individu lain berdepan detik cemas apabila sebuah treler merempuh pondok tol dalam insiden di plaza tol terbabit.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, panggilan kecemasan diterima membabitkan rempuhan pondok tol dan dua kereta jenis Perodua Bezza serta Proton Wira.

Katanya, mangsa termasuk penjaga tol berada dalam keadaan baik.