Kos naik taraf tapak niaga Tanjung Dawai cecah RM1.5 juta, dijangka siap Mac 2026

Iklan
Tunku Iskandar Shah (tengah) ketika meninjau Tapak Niaga MyKiosk Amanjaya 1 pada Ahad.

SUNGAI PETANI – Kerja-kerja naik taraf tapak niaga lokasi pelancongan Tanjung Dawai sedang dilaksanakan membabitkan kos mencecah RM1.5 juta, dijangka siap Mac tahun hadapan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah, Tunku Iskandar Shah Tunku Muszaffar Shah berkata, ia merangkumi penyediaan tapak niaga MyKiosk bernilai lebih kurang RM500,000 selain bumbung dan fasiliti lain yang mencecah kira-kira RM1 juta.

Iklan
Iklan

Menurutnya, langkah itu dilihat berupaya memperkasakan pelancongan di Daerah Kuala Muda sekali gus merancakkan ekonomi setempat.

“Projek ini bukan sahaja meningkatkan keupayaan Tanjung Dawai menampung kehadiran lebih ramai pengunjung malah menyerlahkan keindahan lokasi pesisir pantai itu dengan landskap dan pembangunan yang seimbang serta sistematik," katanya.

Iklan

Beliau ditemui pemberita ketika Majlis Penyerahan Payung Projek di tapak niaga MyKiosk Amanjaya 1, di sini pada Ahad.

Beliau berkata, selain sokongan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), kerja-kerja naik taraf itu turut mendapat kerjasama Kerajaan Negeri Kedah membabitkan tapak parkir berjumlah RM350,000.

Iklan

Katanya, tapak niaga yang dilengkapi MyKiosk akan memberi peluang kepada 32 peniaga meneruskan perniagaan mereka di lokasi tumpuan ramai tersebut.

"Saya yakin bahawa penambahbaikan infrastruktur ini akan menarik lebih ramai pelancong datang ke Tanjung Dawai, sekali gus meningkatkan ekonomi setempat," jelasnya.

Dalam perkembangan berlainan, katanya, tapak niaga MyKiosk Amanjaya 1 baru selesai kerja-kerja penambahbaikan membabitkan kos RM115,000 merangkumi penyediaan meja dan kerusi, pencahayaan serta kemudahan payung.

"Saya nak ingatkan para peniaga yang penting jaga kebersihan, bagi makanan sedap...buatlah TikTok (promosi) sendiri, buat live, bagi orang ramai-ramai (datang) contoh kat sini, pihak majlis bantu dari segi infra dan sebagainya, dengan cara ini, kita sama-sama bantu jana ekonomi negeri dan negara," katanya.

Tapak niaga MyKiosk Amanjaya 1 yang terletak berdekatan Amanjaya Mall di sini dibuka kepada orang ramai pada setiap malam menawarkan pelbagai menu menarik untuk dinikmati.