JOHOR Darul Ta'zim (JDT) tidak berdepan masalah untuk mempertahankan kejuaraan Piala FA selepas membelasah Sabah FC 5-0 dalam aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada Ahad.
Kemenangan bergaya itu menyaksikan skuad Harimau Selatan melakar sejarah tersendiri apabila berjaya mengekalkan trofi berprestij itu buat kali keempat berturut-turut selepas turut memenanginya pada edisi 2022, 2023 dan 2024.
Dalam pertembungan itu, JDT nyata berada dalam kelas tersendiri dan bukan tandingan buat Sabah FC apabila mendominasi segenap aspek permainan sebaik wisel permulaan dibunyikan.
Skuad Harimau Selatan tidak menunggu lama untuk berada di depan seawal minit ketujuh apabila penjaga gol Sabah FC, Damien Lim tertewas dengan tandukan Jonathan Silva yang berpunca daripada sepakan percuma Oscar Arribas.
JDT terus menggandakan asakan dan berjaya memperoleh dua gol pantas dalam tempoh tiga minit, sekali gus merentap semangat lawan.
Bermula dengan kesilapan Rawilson Batuil yang tertampan hantaran Nacho Mendez ke gawang sendiri pada minit ke-19, JDT terus menambah derita skuad The Rhinos menerusi jaringan Jairo da Silva yang melakukan tandukan terbang menarik pada minit ke-22 untuk menjadikan kedudukan selesa 3-0.
Bersambung babak kedua, Sabah FC semakin tertekan dalam usaha mencari gol sagu hati apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain.
Pemain import mereka, Miguel Cifuentes diperintahkan keluar padang pada minit ke-50 selepas menerima layangan kad kuning kedua, sekali gus menutup ruang buat Sabah untuk bangkit menyaingi kehebatan JDT.
Sabah terus derita apabila Aribas meledak gol keempat pada minit ke-64 sebelum Manuel Hidalgo meledak gol kelima JDT pada penghujung perlawanan untuk menutup final tersebut dengan kemenangan besar.