Tiada lesen memandu, penunggang motosikal warga Myanmar maut dalam kemalangan

Iklan
Keadaan di lokasi kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan kereta di Jalan Istana pada Ahad.

KUALA LUMPUR – Seorang penunggang motosikal warga Myanmar yang tidak memiliki lesen memandu maut dalam kemalangan di Jalan Istana dari arah Lebuhraya Sungai Besi menghala ke pusat bandar di sini pada Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9.14 pagi itu, mangsa berusia 44 tahun dipercayai menukar lorong ke arah kanan sebelum dilanggar sebuah kereta.

Iklan
Iklan

"Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Kuala Lumpur," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Mohd Zamzuri berkata, seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun yang memandu kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

Iklan

“Siasatan awal mendapati penunggang motosikal berkenaan tidak memiliki lesen memandu yang sah.

"Kita sedang mengesan pemilik motosikal terbabit bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.

Iklan

Beliau berkata, pihak polis telah menjalankan siasatan di lokasi kejadian, selain mendapatkan rakaman kamera litar tertutup serta merakam percakapan pemandu kereta bagi membantu siasatan.

"Semakan identiti dan pengesanan waris mangsa sedang dijalankan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang melihat kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Razif Jamaluddin di talian 019-448 2852 atau Balai Polis Trafik Tun H S Lee di talian 03-2071 9999," katanya.