IPOH – Kerajaan negeri Perak melalui Kampung Karyawan Amanjaya (PORT) sedang membangunkan Sistem Pangkalan Data Seni Kreatif Perak sebagai inisiatif strategik untuk menghimpunkan maklumat menyeluruh penggiat industri kreatif di negeri ini.
Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Perak, Mohamad Hamidi Baharuddin berkata, pangkalan data itu dijangka dilancarkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam masa terdekat.
Menurutnya, platform komprehensif tersebut akan merangkumi pelbagai disiplin seni termasuk muzik, seni visual, filem, tari, teater, reka cipta serta bidang kreatif lain.
"Pangkalan data ini penting bagi membolehkan kerajaan merancang dasar dengan lebih tepat, mengenal pasti bakat, menyalurkan bantuan serta memetakan potensi industri kreatif secara lebih teratur.
"Kita mahu memastikan bahawa pembangunan industri kreatif di Perak bukan sekadar bersifat acara semata-mata, tetapi mempunyai asas data, dokumentasi dan penyelidikan yang mantap," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Pelancaran Buku Ipoh Music Symposium 2024 bertajuk ‘Ritma Atas Puisi: Muzik Rap dan Budaya Hip Hop’ di sebuah restoran di sini pada Sabtu.
Mohamad Hamidi merangkap Ahli Lembaga Pengarah PORT berkata, kerajaan negeri komited memperkukuh ekosistem seni dan budaya selaras aspirasi Perak Sejahtera 2030 dengan memastikan pembangunan industri kreatif tidak bersifat bermusim atau berasaskan acara semata-mata.
Menurutnya, PORT terus menjadi pemangkin pembangunan sektor kreatif menerusi pelbagai inisiatif termasuk Ipoh Music Symposium, Dana Kreatif Perak, Arkib Muzik Perak serta Portcast sebagai platform penceritaan dan suara penggiat seni.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, penerbitan buku tersebut bukan sahaja merekodkan wacana akademik malah menyumbang kepada pengukuhan peranan Ipoh sebagai Bandar Kreatif Muzik di bawah rangkaian UNESCO Creative Cities Network (UCCN).
Mohamad Hamidi turut mengalu-alukan penyertaan semua penggiat seni kreatif di Perak untuk mendaftarkan diri dalam sistem berkenaan bagi memastikan pangkalan data itu lengkap dan benar-benar mewakili keseluruhan ekosistem kreatif negeri.