KLANG – Tindakan seorang lelaki warga China yang memberikan alasan kononnya sekadar membawa rakan senegara terbongkar apabila pemeriksaan mendapati dia tidak memiliki Lesen Memandu Kompeten (CDL) ketika ditahan di sekitar Pelabuhan Klang pada Khamis.
Lebih mencurigakan, pemandu bersama penumpang didapati langsung tidak boleh bertutur dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris sehingga terpaksa berkomunikasi menggunakan aplikasi terjemahan Google bagi memahami arahan pegawai penguat kuasa.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan berkata, sebuah van telah ditahan selepas disyaki dipandu oleh pemandu warga asing (PEWA) serta membawa pekerja warga asing.
Menurutnya, hasil semakan melalui Peranti Penguatkuasaan Pengurusan Pintar (SmED) mendapati kenderaan terbabit merupakan kenderaan persendirian.
“Pemandu disaman atas kesalahan tiada CDL dan salah guna Lesen Kenderaan Motor (LKM).
“Kenderaan terbabit turut disita atas kesalahan tiada CDL dan salah guna LKM kerana membawa pekerja,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, ketika pemeriksaan dijalankan, pemandu dan penumpang gagal berkomunikasi dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris.
“Kedua-dua individu itu menggunakan aplikasi terjemahan bagi menjawab soalan pegawai.
“JPJ Selangor akan terus memberi perhatian serta menjalankan pemantauan berterusan terhadap semua aduan bagi memastikan setiap kenderaan mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya,” katanya.