Penunggang motosikal maut, pemandu lori hilangkan diri

Iklan
Gambar di lokasi kejadian.

ALOR GAJAH - Polis sedang mengesan pemandu lori yang terbabit dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Persimpangan Lampu Isyarat Taman Mutiara, Lebuh AMJ, di sini, yang mengorbankan seorang penunggang motosikal manakala pemboncengnya cedera awal pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 4.30 pagi, membabitkan sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC dan sebuah lori yang jenisnya masih belum dikenal pasti.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, penunggang motosikal, seorang lelaki tempatan berusia 19 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai makan, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

“Pembonceng motosikal, seorang wanita tempatan berusia 19 tahun yang tidak bekerja, mengalami kecederaan patah tulang pinggul dan jari tangan serta kini sedang menerima rawatan di hospital,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Katanya, siasatan awal mendapati motosikal berkenaan dipercayai gagal berhenti ketika lampu isyarat berwarna merah semasa bergerak dari arah Pengkalan menghala ke Pekan Alor Gajah sebelum melanggar sebuah lori yang sedang bergerak dari arah kiri di persimpangan tersebut.

Iklan

“Bagaimanapun, pemandu lori terbabit telah melarikan diri dari lokasi kejadian dan sehingga kini masih belum dikenal pasti.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Ujar beliau, polis sedang giat mengesan pemandu lori terbabit dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat, termasuk rakaman kamera papan pemuka (dashcam) atau yang menyaksikan kejadian, diminta tampil membantu siasatan.

Maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Loh Gia Xao di talian 019-5382353 atau hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, IPD Alor Gajah.