Judi dan adab: Kompas moral yang diketepikan demi kuasa politik

Iklan
Isu etika berpakaian dan judi hanyalah contoh yang sedang menguji kejujuran semua pihak. Gambar kecil: Mukhtaruddin

PERDEBATAN mengenai etika berpakaian di premis kerajaan dan penentangan terhadap penutupan kedai judi di Kedah sering kelihatan sebagai dua isu berasingan.

Namun jika diamati, kedua-duanya berpunca daripada persoalan sama: sejauh mana kita mengambil serius nilai moral, adab dan tatasusila dalam ruang awam.

Iklan
Iklan

Isu seorang wanita yang diminta mematuhi etika pakaian sebelum dibenarkan membuat laporan di sebuah ibu pejabat polis daerah sehingga mencetuskan kecaman dan semakan semula pekeliling, serta tindakan undang-undang mencabar keputusan sebuah kerajaan negeri menghentikan pembaharuan lesen premis judi, mendedahkan cara berfikir sebahagian aktor politik dan sivil dalam menilai batas kebebasan individu dan tanggungjawab sosial.

Dalam isu etika berpakaian, beberapa fakta asas tidak wajar diketepikan.

Iklan

Pekeliling perkhidmatan sedia ada menetapkan garis panduan pakaian yang sopan bagi mereka yang berurusan di premis kerajaan, selaras dengan prinsip kelima Rukun Negara – Kesopanan dan Kesusilaan.

Kes di sebuah balai polis yang tular menunjukkan bagaimana seorang pelanggan diminta menukar pakaian kerana keadaan ketika itu tidak dikategorikan sebagai kecemasan dan beliau masih berupaya mengurus dirinya.

Iklan

Jika benar berlaku situasi darurat, sudah tentu pertimbangan berbeza akan diambil oleh anggota bertugas.

Dari sudut fiqh, prinsip ini sejalan dengan kaedah “al-darurat tubih al-mahzurat” – darurat boleh melonggarkan perkara yang asalnya dilarang.

Justeru, melonggarkan etika pakaian dalam keadaan darurat adalah wajar, tetapi di luar keadaan tersebut, etika berpakaian bertujuan mendidik masyarakat menghormati ruang rasmi.

Namun, suara yang timbul daripada sebahagian pihak seolah-olah menggambarkan garis minimum adab berpakaian di premis kerajaan sebagai penghalang utama kepada akses rakyat.

Adakah masyarakat kita begitu terancam hanya kerana diminta berpakaian lebih sopan ketika berurusan dengan institusi rasmi?

Atau sebenarnya kita sedang menyaksikan arus pemikiran yang menafsir kebebasan secara sangat individualistik, sehingga apa sahaja bentuk disiplin sosial – walaupun bersandarkan adab asas – dianggap menekan?

Apabila etika ini dijadikan sasaran, ia memberi isyarat bahawa sesetengah pihak lebih gemar meraih populariti dengan mempersoalkan garis adab berbanding menjelaskan kepentingan memelihara maruah ruang awam.

Isu judi di Kedah pula membawa kita ke medan moral yang lebih jelas. Keputusan kerajaan negeri untuk tidak lagi memperbaharui lesen premis perjudian dan loteri bermula 1 Januari 2023 dibuat atas pertimbangan ingin mengurangkan mudarat sosial dan kewangan akibat ketagihan judi.

Keputusan ini selari dengan ajaran Islam yang menjadi asas kepada dasar di negeri tersebut, dan hampir semua tradisi agama serta budaya mengakui bahawa judi bukan jalan membina kesejahteraan.

Kajian dan laporan turut mengesahkan kaitan perjudian dengan hutang, keruntuhan institusi keluarga, jenayah dan masalah kesihatan mental.

Namun usaha menyekat judi ini telah dicabar melalui tindakan undang-undang oleh beberapa pengusaha yang dibantu oleh pihak tertentu, atas alasan hak perniagaan dan tafsiran bidang kuasa kerajaan negeri serta Persekutuan.

Dari sudut perundangan, perdebatan tentang bidang kuasa adalah sah dan sihat, dan mahkamah berperanan memastikan setiap tindakan kerajaan mematuhi kerangka perlembagaan.

Dalam kes Kedah, mahkamah memutuskan bahawa hal pelesenan perjudian terletak di bawah kuasa Persekutuan dan kerajaan negeri telah melampaui bidang kuasanya.

Keputusan ini perlu dihormati dari sudut sistem. Namun dari sudut moral, persoalan kepada masyarakat masih kekal: dalam konflik antara hujah hak perniagaan dan hujah melindungi rakyat daripada mudarat judi, di sisi mana sepatutnya kita berdiri?

Apabila tenaga guaman dan kekuatan politik digunakan untuk meluaskan semula ruang aktiviti yang diketahui umum membawa kerosakan, imej yang timbul ialah seolah-olah kepentingan ekonomi segelintir pihak lebih utama daripada kebajikan sosial masyarakat secara keseluruhan.

Pada tahap inilah kita perlu berani bertanya beberapa soalan yang tidak selesa.

Mengapa dalam isu yang bertujuan mendidik adab sopan di premis kerajaan, suara yang lantang muncul ialah suara menentang dan mempersoal, bukan suara yang menyokong pengukuhan nilai kesopanan?

Mengapa garis minimum etika berpakaian – yang tidak sampai pun memaksa sesiapa menukar agama – ditonjolkan seakan simbol penindasan?

Dalam isu judi pula, mengapa wujud kesungguhan untuk mempertahankan ruang operasi yang hampir semua agama dan budaya di negara ini sepakat menganggapnya tidak bermoral?

Pihak yang terlibat boleh berhujah bahawa mereka sedang memperjuangkan hak bukan Islam, kebebasan individu atau keluhuran perlembagaan.

Namun moral politik tidak diukur pada retorik undang-undang semata-mata, tetapi pada mesej sebenar yang dihantar kepada masyarakat: adakah kita sedang membina masyarakat yang lebih beradab dan bermaruah, atau menormalisasikan gaya hidup yang menambah risiko keruntuhan sosial?

Rakyat Malaysia yang prihatin terhadap masa depan negara – khususnya mereka yang menjadikan ajaran agama sebagai kompas hidup – tidak boleh memandang ringan dimensi moral dalam setiap keputusan politik dan undang-undang.

Menyokong pihak yang menentang etika berpakaian sopan di premis kerajaan, dan pada masa yang sama mempertikaikan usaha menyekat judi, secara praktikal memberi nafas kepada budaya yang menghakis adab serta menormalisasikan maksiat atas nama hak individu.

Al-Quran mengingatkan: “Dan sesiapa yang memberikan bantuan (sokongan) kepada syafaat yang buruk, nescaya dia juga akan mendapat bahagian dosa daripadanya.” (Surah al-Nisā’, 4:85). Ayat ini menegaskan bahawa mereka yang membantu menyuburkan keburukan – sama ada melalui undang-undang, pengaruh politik atau sorakan sokongan – turut berkongsi beban akibat daripada keburukan itu.

Masa depan negara ini seharusnya ditentukan oleh parti-parti politik dan pemimpin yang berani meletakkan moral serta kebajikan rakyat mengatasi kepentingan jangka pendek.

Isu etika berpakaian dan judi hanyalah contoh yang sedang menguji kejujuran semua pihak.

Mereka yang sanggup mempertahankan kesopanan di ruang awam dan bersikap tegas terhadap judi membantu mengukuhkan benteng sosial negara.

Sebaliknya, mana-mana pihak yang memilih untuk mempersendakan etika dan mempertahankan ruang judi – walaupun dengan hujah undang-undang – perlu bersedia dinilai dari sudut kompas moralnya.

Akhirnya, masa depan Malaysia akan banyak bergantung kepada kesediaan kita memilih jalan integriti: bukan sahaja adil dari segi hak dan layanan, tetapi juga berani memimpin masyarakat ke arah akhlak yang lebih tinggi, bukannya menyeretnya ke arah normalisasi maksiat dan kehilangan maruah.

*Dr Mukhtaruddin Musa ialah Pengarah Urusan Yayasan Strategik Lestari (YSL)