[VIDEO] Wanita dakwa suami ditembak hanya berstatus kekasih, ada 10 rekod jenayah - Polis

Iklan

 

AYER KEROH - Polis Melaka mendedahkan wanita yang mendakwa suaminya salah seorang daripada tiga suspek ditembak mati dalam insiden di Durian Tunggal baru-baru ini sebenarnya bukan isteri lelaki berkenaan sebaliknya hanya pasangan kekasih yang tinggal bersama.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, siasatan mendapati wanita berusia 31 tahun itu bukan sahaja tidak mempunyai hubungan suami isteri dengan suspek malah mempunyai 10 rekod jenayah lampau sejak tahun 2012.

Dzulkhairi ketika bercakap kepada pemberita.

Iklan

“Siasatan mendapati wanita tersebut tiada sebarang hubungan perkahwinan dengan si mati. Mereka hanya pasangan kekasih yang tinggal bersama di Durian Tunggal sejak tiga tahun lalu.

“Isteri sebenar suspek berada di Johor dan telah lama ditinggalkan,” katanya mengulas berhubung perkembangan kes tembak Durian Tunggal.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Legasi 04 RXZ X 125 ZR Melaka Attack 2025 yang disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, di Dataran MITC di sini pada Jumaat malam.

Dzulkhairi berkata, 10 rekod jenayah wanita itu melibatkan kes curi kenderaan, samun, cubaan bunuh dan yang terbaharu samun di Jasin pada Julai 2025.

Beliau turut mendedahkan bapa wanita itu yang berusia 55 tahun turut memiliki 24 rekod jenayah sejak tahun 2002 membabitkan kes curi kenderaan, samun, cubaan bunuh dan bunuh termasuk beberapa kes yang telah menyebabkan dirinya dipenjara sebelum ini.

“Bapa wanita itu masih dikehendaki polis bersabit dua laporan polis berkaitan kes curi kenderaan dan curi dalam bangunan. Kita mempunyai maklumat mengenai penglibatannya,” katanya.

Dalam pada itu, Dzulkhairi memaklumkan bahawa kes tembakan Durian Tunggal itu kini diambil alih oleh Unit Siasatan Khas Bukit Aman dan polis Melaka memberi kerjasama penuh.

“Kes ini kini sepenuhnya disiasat Bukit Aman. Polis Melaka tidak masuk campur, namun memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan siasatan berjalan lancar.

“Bagaimanapun kes-kes jenayah melibatkan bapa wanita tersebut masih berada di bawah siasatan Polis Melaka termasuk kes curi dalam bangunan dan curi lori,” katanya.

Serahan memorandum menyokong polis di IPK Melaka pada Jumaat.

Dalam perkembangan berasingan, Dzulkhairi mengesahkan polis menerima memorandum sokongan daripada orang ramai terhadap polis di IPK Melaka pada petang Jumaat.

“Kami menerima notis mengenai perhimpunan tersebut. Walaupun cuaca tidak mengizinkan, ia berjalan lancar.

“Tindakan mereka menunjukkan masyarakat masih menganggap peranan polis relevan dan terus menyokong Polis Melaka dalam usaha mencegah jenayah,” katanya.

Pada 24 November lalu, tiga lelaki berusia 24 hingga 29 tahun ditembak mati selepas seorang daripada mereka didakwa melibas parang ke arah seorang anggota polis di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal.

Kejadian pada jam 4.30 pagi itu menyebabkan anggota polis berpangkat koperal berusia awal 30-an cedera parah pada lengan kiri.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar dilaporkan berkata, kesemua suspek daripada Geng Durian Tunggal itu dipercayai dalam perjalanan untuk menyamun sebuah premis.

Kesemuanya aktif melakukan jenayah sejak 2024, membabitkan 20 kes di Melaka serta masing-masing satu kes di Negeri Sembilan dan Selangor, dengan kerugian RM1.35 juta.

Bagaimanapun pada 3 Disember lalu, ahli keluarga tiga suspek berkenaan menolak dakwaan bahawa mangsa bertindak ganas dengan menyerang pasukan keselamatan.

Susulan itu pada 4 Disenber lalu, satu pasukan khas ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan ahli keluarga tiga suspek lelaki terbabit yang tidak berpuas hati dengan tindakan polis.