KOTA TINGGI – Tiga kebakaran besar melibatkan kira-kira 391 hektar tanah berlaku di kawasan Pengerang sejak Jumaat lalu.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor, Penolong Pesuruhjaya Bomba (PPjB) Muhammad Al Mustakim Abdul Hady berkata, kebakaran paling teruk dan kritikal berlaku di Jalan Sungai Kapal, Taman Bayu Damai.
Menurutnya, kebakaran tersebut melibatkan tanah gambut dan operasi pemadaman masih diteruskan sehingga kini, memasuki hari keenam.
“Dua lagi lokasi kebakaran membabitkan Kampung Lepau, yang masih dalam proses pemadaman, serta tapak pengumpulan sampah di Jalan Tuatau, Bandar Penawar yang telah berjaya dipadamkan sepenuhnya pada Selasa.
“Terdapat juga beberapa kawasan lain yang terbakar seperti di Batu Pahat dan Tanjung Sedeli (Kota Tinggi) semalam, namun kesemuanya telah berjaya dipadamkan,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Kawalan Bomba, Taman Bayu Damai di sini pada Rabu.
Kebakaran di Taman Bayu Damai bermula sejak Jumaat lalu dan setakat jam 12 tengah hari ini seramai 153 penduduk melibatkan 50 keluarga telah dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS).
Penduduk terlibat ditempatkan di Dewan Serbaguna Taman Bayu Damai dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kapal sejak Sabtu.