GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang terus komited memperkukuh pendidikan Islam menerusi pelbagai inisiatif termasuk peningkatan sokongan kepada sekolah-sekolah agama dan para huffaz di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, pendidikan Islam merupakan asas pembentukan umat berilmu, berakhlak mulia, berjati diri kukuh dengan Al-Quran dan sunnah menjadi landasan utama pembangunan akidah serta akhlak.
Menurutnya, Jabatan Hal Ehwal Agama Iskam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP) terus memikul tanggungjawab melaksanakan dasar pendidikan Islam berpandukan Enakmen Pengawalan Sekolah-sekolah Agama Islam 1989.
"Untuk tahun 2025, terdapat 340 sekolah Islam berdaftar di bawah JHEAIPP melibatkan 12 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), 17 Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR), 218 Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA), 14 Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR), 44 Maahad Tahfiz, 14 institusi pondok serta 21 Tadika Islam Mutiara Madani.
"Kesemua institusi pendidikan yang disenaraikan melibatkan hampir 54,600 murid dan menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih 3,300 guru di seluruh negeri," katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Sekolah Agama Rakyat dan Sumbangan al-Huffaz Tahun 2025 di sini pada Jumaat.
Dalam pada itu, Mohamad yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang berkata, sekolah-sekolah Islam yang kebanyakannya digerakkan masyarakat amat bergantung kepada infak, sedekah, derma dan wakaf, justeru bantuan kerajaan negeri amat penting bagi memastikan operasi mereka kekal stabil.
Beliau berkata, Bantuan Sekolah Agama Rakyat (BSAR) yang disampaikan mencerminkan komitmen kerajaan negeri memperkukuh institusi pendidikan Islam.
Tambahnya, pelbagai bentuk sokongan turut disediakan termasuk pembinaan sekolah baharu, penyelenggaraan, penyediaan perabot dan bantuan elaun kepada guru KAFA, guru sekolah Islam serta guru tadika.
"Usaha memperkasa pendidikan Islam juga selari dengan Agenda Pembangunan Agama Islam 2030 (APAI2030) dan visi Penang2030 yang menekankan peranan institusi pendidikan dalam membina masyarakat berpengetahuan, berdisiplin dan inklusif," katanya lagi.
Dalam majlis sama, beliau turut menekankan penghargaan kerajaan negeri kepada golongan huffaz melalui Inisiatif Sumbangan al-Huffaz yang telah memberi manfaat kepada 655 penerima sejak 2008, termasuk 27 penerima baharu tahun ini, masing-masing menerima RM500.
Katanya, kerajaan negeri juga mempertingkat akses kepada teknologi pendidikan melalui kerjasama dengan Etiqa Takaful yang menyalurkan sumbangan smartboard bernilai RM140,800 kepada beberapa sekolah Islam.
Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan peruntukan BSAR 2025 mengikut kategori iaitu SABK RM141,900; SMAR RM343,700; SRAR RM239,000 dan KAFA RM1,859,100.
Bagi maahad tahfiz dan pondok, kerajaan negeri memperuntukkan RM424,600 manakala bagi Tadika Islam Mutiara Madani pula sebanyak RM180,200 yang menjadikan jumlah keseluruhan RM3.188 juta.