Malaysia cadang penubuhan ARDIC, perkasa pembangunan luar bandar ASEAN

Iklan
Ahmad Zahid.

BANGKOK - Malaysia mencadangkan penubuhan ASEAN 'Rural Development and Innovation Council' (ARDIC) bagi memperkukuh kerjasama serantau dalam konteks pembangunan luar bandar di Asia Tenggara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ARDIC akan berperanan sebagai platform tetap untuk menyelaras dasar, berkongsi inovasi dan memperkukuh pembangunan luar bandar secara kolektif di rantau ini.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, penubuhan pelan itu dijangka menjadi pemangkin penting dalam memperkasa pertukaran teknologi, amalan terbaik dan kepakaran antara semua 11 negara ASEAN.

Selain itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah memaklumkan bahawa Malaysia akan memperkenalkan Hari Pembangunan Luar Bandar pada tahun hadapan.

Iklan

"Ia selaras dengan pengisytiharan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi usaha menonjolkan peranan komuniti desa dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) dan membina kehidupan yang lebih baik untuk rakyat luar bandar.

"Saya menegaskan komitmen Malaysia untuk memperkukuh pembangunan luar bandar yang inklusif berasaskan inovasi, penglibatan komuniti, pendigitalan serta perluasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pemacu utama kesejahteraan rakyat dan pembasmian kemiskinan.

Iklan

"Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan terus memainkan peranan yang konstruktif dan berwibawa dalam kerangka ASEAN bagi memastikan komuniti luar bandar menjadi penerima manfaat utama pembangunan serantau menjelang ASEAN 2045," katanya pada Jumaat.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan kenyataan menteri menerusi Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan (AMRDPE) ke-14 yang berlangsung di Bangkok, Thailand.

Ahmad Zahid mengadakan lawatan kerja selama tiga hari ke Thailand dan mengetuai delegasi Malaysia.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan bahawa Malaysia akan terus melaksanakan pelaburan besar dalam infrastruktur luar bandar, termasuk RM2.3 bilion bagi 1,364 projek jalan serta RM195.2 juta untuk bekalan air bersih kepada 5,000 rumah.

Tambahnya, ini termasuk RM162.9 juta bagi memastikan bekalan elektrik luar bandar stabil kepada 2,010 penerima dan RM364.45 juta melalui Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) yang membantu lebih 10,000 keluarga meningkatkan kualiti hidup mereka.

"Usaha meningkatkan sosioekonomi luar bandar diperkukuh melalui sokongan kepada 55,400 usahawan, khususnya aspek pendigitalan bagi membolehkan mereka menembusi pasaran yang lebih luas di seluruh ASEAN," kata beliau.

Menerusi mesyuarat tersebut, pihaknya turut berkongsi tentang inisiatif Desa Kirana yang mempromosikan 25 destinasi agro dan ekopelancongan agar masyarakat luar bandar dapat menikmati limpahan ekonomi pelancongan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

"Usaha-usaha ini semakin menampakkan hasil yang ketara dengan kadar kemiskinan tegar Malaysia menurun kepada 0.09 peratus berdasarkan Kajian Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (HIES) 2024, berbanding 0.2 peratus pada 2022.

"Ini membuktikan strategi pembangunan luar bandar negara berada pada landasan yang tepat," jelas Ahmad Zahid lagi.