Keputusan tidak rayu kes Rosmah ikut undang-undang - PM

Iklan
Anwar menunaikan solat Jumaat di Masjid Nur Al-Hidayah, Kuah di sini di Langkawi pada Jumaat.

LANGKAWI – Keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tidak meneruskan rayuan terhadap pembebasan Datin Seri Rosmah Mansor daripada 17 pertuduhan pengubahan wang haram dibuat sepenuhnya mengikut lunas undang-undang tanpa dipengaruhi sebarang kepentingan politik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu diambil selepas AGC meneliti penghakiman Mahkamah Tinggi yang mendapati asas pertuduhan terhadap Rosmah adalah terlalu lemah untuk diteruskan.

Iklan
Iklan

“Ada sedikit keriuhan apabila Peguam Negara memutuskan secara bebas untuk tidak merayu dalam kes Datuk Seri Rosmah Mansor.

"Saya nak jelaskan, kita tidak ambil kira dia penyokong atau seteru kita. Ia mesti ikut jalur hukum,” katanya pada Jumaat.

Iklan

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Nur Al-Hidayah, Kuah di sini.

Jelas Pendana Menteri, proses pendakwaan kes itu bermula sejak 2018 dan semuanya berjalan mengikut prosedur mahkamah sebelum hakim membuat keputusan yang memberikan gambaran jelas kekurangan asas bagi meneruskan rayuan.

Iklan

Beliau turut menjelaskan bahawa dalam beberapa kes lain yang dirayu oleh AGC sebelum ini, ia dilakukan kerana wujud ruang dalam penghakiman untuk berbuat demikian.

Namun bagi kes Rosmah, penghakiman yang dikeluarkan seolah-olah menutup sepenuhnya peluang untuk memfailkan rayuan.

"Apa kata hakim? Lemah sangat kes itu,” ujarnya.

Dalam masa sama, Anwar menegaskan, keputusan tersebut tidak akan menjejaskan atau menghentikan kes-kes lain yang sedang berjalan melibatkan mana-mana individu.

“Kes lain berjalan seperti biasa. Saya ingin ingatkan rakan-rakan di pembangkang, kerajaan, badan kerajaan atau badan guaman bahawa prinsip keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang mesti dipelihara.

“Jangan kerana kita tidak senang dengan satu dua kelompok, kita mahu putuskan ikut selera politik masing-masing,” katanya lagi.