PUTATAN - Isu pengambilan tanah, kerja pengalihan utiliti serta beberapa kekangan teknikal antara perkara yang menjadi tumpuan Kementerian Kerja Raya (KKR) bagi memastikan projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) di Sabah dapat diteruskan dengan lancar.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya mengadakan mesyuarat pada pagi Jumaat sebelum melakukan tinjauan ke beberapa lokasi pembinaan bagi meneliti perkembangan semasa pakej LPB di negeri ini.
"Kami bermesyuarat memperbincangkan isu-isu yang berkaitan dengan kelancaran pelaksanaan projek Pan Borneo ini.
"Jadi kita ada tumpuan kepada masalah dan solusi yang kita boleh rundingkan bersama menerusi mesyuarat pada pagi tadi," katanya selepas melakukan tinjauan pembinaan LPB di Kampung Ketiau, di sini pada Jumaat.
Menurutnya, mesyuarat itu turut disertai pelbagai kementerian bagi menyelaras tindakan dengan lebih berkesan.
Alexander turut mengakui beberapa isu utama masih menjadi cabaran kepada kemajuan projek berkenaan.
Tambahnya, mesyuarat juga menyentuh isu kekangan bekalan bahan binaan serta tenaga kerja yang kadangkala menjejaskan kelancaran kerja di tapak.
Sebelum itu, status perkembangan projek LPB Sabah Fasa 1 adalah melibatkan kerja-kerja pembinaan sepanjang 706 kilometer dan kini dilaksanakan dalam dua fasa utama.
Pelaksanaan LPB Sabah Fasa 1A melibatkan jajaran sepanjang 318 kilometer dan kini sedang giat dilaksanakan di tapak dengan status kemajuan terkini adalah 86.53 peratus.
Bagi WP09 iaitu dari Serusup ke Pituru, status kemajuan telah mencapai 14.23 peratus dan sehingga kini, sebanyak 4 Pakej Kerja daripada keseluruhan 16 Pakej Kerja telahpun berjaya disiapkan serta dibuka untuk pengguna jalan raya.
Bagi LPB Sabah Fasa 1B yang melibatkan jajaran sepanjang 388 kilometer, ia kini sedang dilaksanakan mengikut perancangan dimana kemajuan fizikal dicatatkan pada tahap 12.27 peratus.