Thailand bubar Parlimen

Iklan
Kem sementara yang menempatkan penduduk dipindahkan dari perkampungan sempadan Thailand-Kemboja selepas pertempuran semakin sengit. - Foto AFP

BANGKOK - Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul membubarkan Parlimen pada Jumaat, tiga bulan selepas beliau memegang jawatan itu.

Keputusan itu dibuat ketika konflik sempadan bersama Kemboja sedang memuncak dan ia bakal menyaksikan pilihan raya berlangsung dalam tempoh 60 hari.

Iklan
Iklan

"Kerajaan tidak boleh terus mentadbir hal ehwal negara dengan cekap dan stabil memandangkan pentadbiran sekarang dipimpin kerajaan minoriti.

"Selain itu, keadaan politik domestik yang berdepan pelbagai cabaran juga diambil kira. Oleh itu, penyelesaian yang sesuai adalah membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya baharu," menurut Warta Kerajaan.

Iklan

Di bawah undang-undang negara itu, pemilihan tersebut perlu berlangsung dalam tempoh 45 hingga 60 hari yang bermakna tarikh pilihan raya dijangka pada akhir Januari atau awal Februari depan.

Anutin yang memimpin parti konservatif Bhumjaithai menerusi Facebook pada lewat Khamis memaklumkan beliau mahu mengembalikan kuasa kepada rakyat.

Iklan

Beliau pernah menjadi sekutu puak politik berpengaruh pimpinan bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra, namun menarik diri daripada pakatan bersama Parti Pheu Thai pada musim panas lalu susulan insiden kebocoran audio panggilan telefon melibatkan pendahulunya, Paetongtarn Shinawatra.

Sejak mengambil alih tugas pada September lalu, Anutin telah berdepan dengan konflik ketenteraan bersama Phnom Penh selain krisis pusat scammer di Myanmar yang mengakibatkan ratusan mangsa menyeberangi sempadan ke Thailand. - AFP