KUALA TERENGGANU – Pengorbanan seorang kakak yang sanggup mendermakan sebahagian hati demi menyelamatkan nyawa adiknya menjadi bukti kasih sayang dan ikatan kekeluargaan yang erat antara mereka.
Proses pembedahan pemindahan hati Nur Batrisya Edriana Muhammad Ridzuan, 21, kepada penerima, Nur Aisyah Medina, 8, yang menghidap biliary atresia sejak kecil dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di Kuala Lumpur pada Khamis.
Kedua-dua beradik itu kini berada dalam keadaan stabil namun masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk menjalani proses pemulihan dan pemantauan.
Ibu mereka, Nur Diana Awang@Abidin, 44, berkata, tempoh pemulihan dijangka mengambil masa antara satu hingga dua minggu bergantung kepada perkembangan semasa.
"Doktor maklumkan Aisyah akan berada di ICU sekurang-kurangnya satu hingga dua minggu. Keadaannya kritikal tetapi stabil.
"Batrisya juga masih ditempatkan di ICU tetapi keadaannya stabil dan telah sedar. Buat masa ini kami hanya mampu menunggu dan berdoa supaya proses pemulihan berjalan lancar," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Jumaat.
Nur Diana yang menetap di Panji Alam, di sini berkata, Nur Batrisya menawarkan diri untuk mendermakan hati kepada adiknya selepas doktor memaklumkan bahawa keadaan Aisyah semakin kritikal.
"Batrisya masuk ke bilik pembedahan pada jam 7 pagi, manakala Aisyah dibawa masuk sekitar 10.30 pagi. Prosedur ini mengambil masa panjang, kira-kira 14 jam untuk Aisyah dan sembilan jam bagi Nur Batrisya.
"Mereka berdua memang sangat rapat dan saya sendiri terharu apabila kakaknya bersedia untuk mendermakan sebahagian hati kepada adiknya. Saya hanya mampu berdoa agar kedua-duanya selamat," katanya.
Tambahnya, semua ahli keluarga sebelum ini menjalani pelbagai ujian bagi mengenal pasti penderma paling sesuai, namun keputusan menunjukkan organ Batrisya paling sepadan berikutan faktor usia dan kesihatannya yang baik.
"Batrisya seorang anak yang baik dan bertanggungjawab. Dia mula bekerja sejak habis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk membantu keluarga," katanya yang bekerja di sebuah klinik pergigian, di sini.
Nur Diana memberitahu, Aisyah yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik dikesan menghidap biliary atresia sejak kecil dan pernah menjalani pembedahan kasai pada usia 54 hari, namun prosedur itu gagal dan fungsi hatinya semakin merosot sejak awal tahun ini.
"Aisyah diuji dengan penyakit ini sejak lahir.. Walaupun lahir normal, dia menghidap jaundis berpanjangan hampir sebulan. Pada usia 38 hari, doktor mengesahkan Aisyah menghidap biliary atresia atau kegagalan fungsi hati.
"Pembedahan Kasai yang dijalaninya tidak berjaya. Ketika itu, bacaan hati Aisyah masih baik dan doktor tidak sarankan untuk membuat pembedahan pemindahan hati," ujarnya yang turut ditemani suami, Muhammad Ridzuan Kadir, 47.
Difahamkan, tahun 2025 menjadi tempoh paling mencabar apabila Aisyah beberapa kali mengalami muntah darah dan najis berdarah menyebabkan doktor mengarahkan pembedahan pemindahan hati dilakukan segera.
Kos pembedahan berjumlah kira-kira RM160,000 ditanggung Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pihak hospital manakala keperluan pengurusan lain menerima bantuan dana melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Nadi Permata.