MENJELANG akhir tahun, majlis makan malam staf dengan pelbagai tema dah mula jadi trend di kebanyakan syarikat.
Reunion sekolah pun sama ligat, siap ada yang rancang macam projek mega semata-mata untuk show off nostalgia dan terkenang gosip lama.
Teman Merak Jalanan dah mula garu kepala mahu mencari alasan kukuh untuk elak acara itu setelah dia dijemput masuk dalam grup WhatsApp.
“Jom reunion! Rindu zaman sekolah”. Ayat klise untuk memancing bekas rakan sekolah yang kebanyakannya hanya jadi CCTV dalam kumpulan WhatsApp itu.
Reunion sekolah sebenarnya seperti satu scam sosial kononnya mahu mengeratkan silaturahim.
Tetapi, tujuan utama tak lain tak bukan cuma mahu tunjuk siapa paling berjaya, siapa paling kurus, siapa paling kaya dan siapa yang masih struggle membina kehidupan.
Selain itu, Merak Jalanan lihat acara itu juga seperti sesi audit hidup orang lain menggunakan pertanyaan mesra yang kadangkala agak sensitif.
Mulalah ada yang membuat perbandingan semata-mata mahu pastikan dia kekal hebat terutamanya jika orang itu pernah popular ketika zaman sekolah.
Itu belum masuk part cinta lama bertaut semula. Ada yang menjalinkan hubungan terlarang.
Tak pasal-pasal timbul masalah lain ‘tercurang tanpa sedar’. Bagi yang single, dulu hati tak terpaut, tapi bila tengok bekas kawan sekolah dah kaya, terus jatuh cinta.
Pendek kata, reunion bukanlah jambatan persahabatan kerana ia cuma pentas kecil untuk ego rakan lama berlakon jadi versi terbaik.
Datang atau tidak? Tepuk dada, tanya selera.