Lelaki didakwa liwat anak tiri sindrom down

Iklan
Seorang mekanik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh pada Khamis atas pertuduhan meliwat anak tiri lelakinya yang menghidap sindrom Down, minggu lalu.

IPOH – [DIKEMAS KINI] Seorang mekanik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh pada Khamis atas pertuduhan meliwat anak tiri lelakinya yang menghidap sindrom Down, minggu lalu.

Lelaki berusia 40 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa yang berusia 11 tahun itu di sebuah rumah di Bandar Universiti, dalam daerah Perak Tengah, sekitar jam 7 malam pada 2 Disember 2025.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Iklan

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Arfahanim Azureen Arfanuddin menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin warga tempatan yang bukan dalam kalangan ahli keluarga, memandangkan mangsa merupakan anak tiri kepada tertuduh.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan minimum atas alasan pendapatannya sebagai mekanik hanya RM1,800 sebulan, manakala pendapatan isterinya sebagai peniaga pakaian terpakai hanyalah RM500 sebulan.

Iklan

Dia turut memaklumkan bahawa perlu menyara dua anak termasuk mangsa.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 dan menetapkan dua syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis pada setiap awal bulan serta dilarang mengganggu mangsa dan saksi sehingga kes selesai.

Tarikh 29 Januari 2026 ditetapkan sebagai sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan pelantikan peguam.