HASRAT skuad bola sepak Bawah 23 tahun (B-23) negara untuk sekurang-kurangnya meraih keputusan seri dalam aksi terakhir Kumpulan B Sukan SEA Thailand tidak kesampaian apabila tunduk 0-2 kepada Vietnam pada Khamis.
Kekalahan di Stadium Rajamangala itu menyebabkan skuad negara perlu menunggu 'talian hayat' daripada keputusan kumpulan lain bagi meneruskan kemaraan dalam temasya dwitahunan itu.
Harimau Muda perlu menanti keputusan perlawanan antara Thailand dan Singapura dalam Kumpulan A yang akan berlangsung hari ini selain Indonesia dan Myanmar dalam Kumpulan C pada Jumaat.
Dalam perlawanan tersebut, Vietnam dilihat lebih selesa menguasai permainan seawal separuh masa pertama menerusi gerakan-gerakan menarik serta larian deras yang dijana dari bahagian sayap mereka.
Kubu pertahanan negara bocor seawal minit ke-10 apabila Vietnam berjaya membuka tirai jaringan.
Berpunca daripada hantaran menarik Nguyen Dinh Bac, Nguyen Hieu Minh bijak melakukan tandukan kemas untuk menewaskan penjaga gol negara.
Tersentak dengan jaringan awal itu, Harimau Muda cuba memperkemaskan permainan namun terus dihukum oleh kelincahan lawan.
Dinh Bac sekali lagi menjadi watak penting buat pasukan Naga Emas apabila hantarannya pada minit ke-22 berjaya disudahkan oleh Phan Minh Phuc, meletakkan Vietnam selesa mendahului 2-0.
Separuh masa kedua menyaksikan aksi lebih baik dipamerkan skuad negara namun gagal mencari gol menyaksikan keputusan itu kekal sehingga tamat perlawanan.