JOHOR BAHRU - UMNO perlu lebih menghargai semangat persefahaman dalam Kerajaan Perpaduan sebelum menuntut keadilan pembahagian kuasa di peringkat negeri.
Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Zuhan Zain berkata, kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mengenai isu agihan kuasa antara parti gabungan perlu mengambil kira realiti politik yang berbeza di setiap negeri.
Menurut beliau, sebelum mengulas mengenai keadilan pembahagian kuasa, UMNO wajar melihat contoh di Perak, di mana Pakatan Harapan (PH) menunjukkan keterbukaan sehingga membolehkan Barisan Nasional (BN) menerajui pentadbiran dengan pelantikan Menteri Besar daripada UMNO.
“Realiti politik di setiap negeri berbeza dan tidak boleh dilihat secara sebelah mata.
“PH telah membuktikan kesediaan bertolak ansur demi kestabilan negeri. Jika ini dianggap prinsip keadilan, maka ia seharusnya diterapkan secara konsisten di semua negeri,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Pada Rabu, Ahli Parlimen Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan meluahkan rasa kecewa terhadap pembahagian jawatan politik di Negeri Sembilan yang didakwa tidak selaras dengan semangat kerjasama seperti diamalkan di peringkat Persekutuan.
Beliau berkata, pembahagian jawatan sepatutnya dilakukan secara adil dan seimbang, sebagaimana yang dipraktikkan dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan.
Dalam pada itu, Zuhan berkata, situasi di Johor perlu diperhalusi secara adil kerana UMNO mentadbir negeri itu sepenuhnya tanpa perkongsian kuasa bersama PH.
“Jika keadilan ingin dituntut, maka prinsip itu perlu dipraktikkan secara setara. Tidak wajar hanya menuding jari sedangkan ruang pentadbiran langsung tidak diberikan kepada rakan gabungan di Johor,” katanya.
Beliau berkata, sebagai pimpinan tertinggi UMNO, Tok Mat seharusnya mengutamakan usaha memperkukuh semangat Kerajaan Perpaduan dengan memastikan semua parti menunjukkan sikap matang, adil dan saling menghormati.
“Keharmonian dan kestabilan Kerajaan Perpaduan hanya dapat dicapai apabila setiap parti, termasuk UMNO, benar-benar menghayati semangat kerjasama yang telah dipersetujui,” katanya.
Sebelum ini, beberapa pihak dalam PH termasuk Amanah terus mendesak supaya Kerajaan Perpaduan ditubuhkan di Johor susulan kemenangan BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada tahun lalu.
Ia kemudiannya menimbulkan polemik berterusan antara dua gabungan itu memandangkan BN menyapu 40 daripada 56 kerusi pada PRN Johor 2022.