'Kor Ming lantang isu UEC seolah-olah aktivis jalanan, bukan menteri Kabinet' - Lian Ker

Iklan
Lian Ker

SHAH ALAM – Sebarang perubahan dasar seperti pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) mesti bermula melalui proses rasmi kerajaan, bukannya kenyataan umum, sekiranya Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming benar-benar ingin memperjuangkannya.

Bekas Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, Kor Ming perlu terlebih dahulu menyedari hakikat bahawa beliau kini merupakan sebahagian daripada barisan Kabinet, bukan lagi berada di luar kerajaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, tindakan Kor Ming boleh menimbulkan tanggapan bahawa beliau memberi tekanan kepada kerajaan sendiri dari luar, seolah-olah dirinya seorang aktivis jalanan dan bukannya menteri kanan.

“Aksi yang tidak perlu ditunjukkan pun. Sepatutnya dapatkan sokongan Perdana Menteri, berunding dengan rakan-rakan menteri dalam Kabinet, bentangkan kertas kerja, dapatkan kelulusan dan pikul tanggungjawab bersama kerajaan.

Iklan

“Lebih parah lagi, taktik sedemikian boleh membentuk naratif berbahaya yang menggambarkan isu UEC sebagai pertembungan Cina lawan Melayu, dan ini boleh mencetuskan konfrontasi kaum meskipun pada dasarnya ia tidak disengajakan.

“Justeru, Kor Ming perlu belajar dan mengamalkan pendekatan MCA yang selama ini berjaya meredakan banyak isu berbaur perkauman demi mencapai hasil yang diinginkan secara diplomatik, walaupun kehadiran MCA di Parlimen kini kecil,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Iklan

Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh turut menegur Kor Ming supaya memahami terlebih dahulu Dasar Pendidikan Kebangsaan sebelum mengemukakan permintaan untuk pengiktirafan UEC.

Dr Muhamad Akmal juga menolak keras usaha tersebut dan mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar tidak mengiktiraf UEC.

Menurutnya, tiada keperluan untuk kerajaan mempertimbangkan perkara itu kerana UEC sendiri tidak memenuhi aspek penting dalam dasar pendidikan negara.

Mengulas lanjut, Lian Ker berpandangan bahawa jika Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu benar-benar komited untuk melaksanakan reformasi, langkah yang bertanggungjawab bukanlah melalui teater politik, sebaliknya menerusi gerak kerja dalam Kabinet.

Jelasnya, tekanan awam mungkin mendapat tepukan, namun kata sepakat dalam Kabinet adalah yang menghasilkan dasar sebenar.

“Perkara sama terpakai terhadap janji-janji beliau sebelum ini, antaranya Pilihan Raya Kerajaan Tempatan dan pajakan 999 tahun untuk Kampung Baru.

“Kedua-duanya secara jelas berada dalam bidang kuasa kementeriannya. Kesemua ini memerlukan kerja serius seperti merangka kertas dasar, mendapatkan semakan undang-undang, menyediakan penilaian impak peraturan serta mencapai konsensus antara kementerian.

“Reformasi yang sensitif dicapai melalui rundingan berhemah, metodik dan senyap, bukannya pengisytiharan lantang. Melobilah di bilik yang betul,” ujarnya lagi.