PUTRAJAYA – Sekiranya Mahkamah Persekutuan pada Khamis menerima alasan Ahli Parlimen Muar, bahawa hasil derma di akaun parti boleh dialihkan ke akaun peribadi kerana menggantikan wang yang digunakan semasa pilihan raya, ia membuka ruang kepada mana-mana individu untuk mengalirkan derma ke akaun peribadi secara sah.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib selaku perayu, menghujahkan demikian ketika prosiding pendengaran rayuan untuk mengetepikan keputusan yang membebaskan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 33.
Menurutnya, keadaan itu akan membuka ruang lebih luas kepada pihak lain termasuk ahli politik, untuk mengalihkan wang derma ke dalam akaun masing-masing dengan halal.
“Jika tafsiran Mahkamah Rayuan dikekalkan, pihak itu boleh memindahkan wang sumbangan kempen ke akaun sendiri kemudian menuntutnya sebagai wang peribadi.
“Pendakwaan menyifatkan kenyataan Mahkamah Rayuan bahawa ‘wang itu milik perayu’ sebagai suatu isu berbahaya.
“Ia meruntuhkan prinsip fidusiari antara tujuan sesuatu dana dikumpulkan dengan kawalan peribadi,” katanya.
Dalam prosiding ini, beliau hadir bersama Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharudin Wan Ladin, Farah Ezlin Yusop Khan, Law Chin How, Nurul Qistini Qamarul Abrar, Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal.
Mereka menegaskan, dengan menganggap tujuan pengumpulan dana sebagai pemberian pemilikan mutlak, Mahkamah Rayuan seolah-olah memadamkan elemen amanah yang menjadi asas kepada kesalahan penyelewengan.
Beliau berkata, dana yang dikumpul untuk sesuatu tujuan merupakan milik penderma atau dana kolektif sehingga digunakan dengan betul.
Katanya, sumbangan itu tidak boleh dianggap serta-merta menjadi hak milik ‘benefisiari’ sehingga kewajipan amanah disempurnakan.
Ahmad Akram berkata, Mahkamah Rayuan tersilap dalam dapatan dengan menggambarkan dana itu sebagai satu bentuk penukaran dan bukannya penyalahgunaan atau pecah amanah.
Beliau berkata, ini kerana Syed Saddiq selaku responden meminta dana awam berdasarkan naratif pengorbanan, tetapi telah menggunakan dana itu demi kepentingan diri sendiri.
“Derma berkenaan merupakan harta yang diamanahkan jadi selaku pemegang jawatan, Syed Saddiq mempunyai tanggungjawab ‘fidusiari’ terhadapnya.
“Kesalahan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan itu telah lengkap sebaik sahaja wang itu dialihkan ke dalam kawalan peribadi Syed Saddiq, tanpa mengira dakwaan kemudiannya bahawa dana digunakan sebagai bayaran balik,” katanya.
Justeru katanya, Mahkamah Rayuan terkhilaf apabila memutuskan dana berkenaan menjadi milik bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu hanya kerana ia dikutip untuk kempen pilihan rayanya.
Beliau berkata, wang amanah kekal sebagai harta milik orang lain sehingga digunakan untuk tujuan asalnya.
“Seorang fidusiari tidak boleh secara sepihak menukar wang amanah menjadi milik peribadi,” katanya.
Prosiding di hadapan panel tiga hakim, Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais yang bersidang bersama Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah, bersambung Jumaat.
Dalam prosiding ini, pembelaan bagi pihak bekas Menteri Belia dan Sukan itu diwakili peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Ambiga Sreenevasan, Kee Wei Lon, S Devanandan, Low Wei Loke, Lim Wei Jiet, Siti Summaiyah Ahmad Jaafar, Mohammed Khairuzzaman Mohammed Ridha, Ee Gen You dan Nevyn Vinosh Venudran.