KETUA jurulatih baharu Selangor FC, Kim Pan-gon optimis pasukannya mampu mengekalkan momentum positif dalam mengharungi saingan Kejohanan Kelab ASEAN Piala Shopee apabila menentang wakil Vietnam, Cong An Hanoi FC pada aksi peringkat kumpulan esok.
Skuad Gergasi Merah akan menerima kunjungan naib juara edisi lepas itu dalam perlawanan keempat Kumpulan A dengan keyakinan tinggi, selepas meraih empat kemenangan berturut-turut dalam saingan domestik.
Iklan
Iklan
"Saya percaya kami telah membuat persiapan yang sangat baik dan amat berharap penyokong hadir ke stadium untuk memberikan sokongan yang akan menjadi suntikan semangat besar kepada kami.
"Kami sedang membina identiti serta kekuatan pasukan, khususnya di laman sendiri dan sasaran kami ialah memenangi setiap perlawanan di tempat sendiri. Pemain berada dalam keadaan yakin dan kami akan memberikan persembahan terbaik,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Selangor kekal tidak tewas dalam penampilan sulung mereka dalam Piala Shopee musim ini, termasuk kemenangan ke atas Tampines Rovers FC dalam satu-satunya perlawanan di laman sendiri setakat ini.
Pasukan itu turut mengutip mata di tempat lawan hasil keputusan seri menentang juara bertahan Buriram United FC serta DH Cebu FC di Filipina, sekali gus menduduki tempat kedua Kumpulan A dengan baki dua perlawanan, satu mata di belakang pendahulu Tampines.
Dua pasukan teratas akan mara ke peringkat separuh akhir. - Bernama