Pengiktirafan UEC: Usah menidakkan peluang anak-anak untuk lebih cemerlang - DAPSY

Iklan
Tangkap layar kenyataan Syaheera di Facebook pada Khamis.

SHAH ALAM - Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Kebangsaan mengingatkan ahli-ahli politik yang membangkang pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) supaya tidak menidakkan peluang lebih besar buat anak-anak tanpa mengira kaum untuk menjadi lebih cemerlang.

Penolong Setiausaha Publisitinya, Syaheera Ghafar berkata, dengan perubahan zaman, pemikiran dan dasar juga sepatutnya perlu berubah serta berkembang.

Iklan
Iklan

"Saya naik hairan dengan kenyataan-kenyataan yang betul-betul membangkang apabila DAP mengusulkan sekali lagi untuk mengiktiraf UEC.

"Jangan kerana ahli-ahli politik yang sekarang hanya ingin menjaga kepentingan kaum sendiri sahaja, menidakkan peluang dan ruang lebih besar buat anak-anak tanpa mengira kaum untuk lebih cemerlang di dalam mahupun luar negara," katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Khamis.

Iklan

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh terdahulu dilapor memberi teguran kepada Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming supaya memahami terlebih dahulu Dasar Pendidikan Kebangsaan sebelum meminta pengiktirafan UEC.

Dr. Akmal berkata, tiada keperluan untuk kerajaan mempertimbangkan perkara itu apabila UEC tidak menepati aspek penting dalam dasar berkenaan.

Iklan

Malahan, Timbalan Ketua Pemuda Pas, Mohd Hafez Sabri turut mendesak kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertegas dan tidak mengiktiraf UEC.

Syaheera menegaskan, sebagaimana yang diketahui, negara turut mengiktiraf sijil peperiksaan Ordinary Level (O-Level) yang dikeluarkan oleh Cambridge Assessment International Education (CAIE) atau Pearson Edexcel serta sijil peperiksaan General Certificate of Secondary Education (GCSE), iaitu peperiksaan nasional United Kingdom.

Menurutnya, kedua-dua peperiksaan yang diiktiraf di Malaysia itu menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar.

"Jika antara isu utama UEC ditolak adalah kerana ia boleh mencetuskan masalah integrasi kaum di Malaysia kerana bahasa pengantar, mengapa O-Level dan GCSE tidak dibangkang sekuat ini?

"Hakikatnya, bagi tahun ini bahasa Mandarin merupakan bahasa kedua di dunia selepas bahasa Inggeris yang paling banyak digunakan dengan jumlah 1.118 juta orang menggunakannya sebagai bahasa pertama dan kedua dalam kehidupan seharian," ujarnya.

Justeru, Syaheera mempersoalkan mengapa sesetengah pihak yang membangkang UEC ingin menyekat peluang untuk anak-anak di Malaysia tanpa mengira kaum dan agama bagi meneroka peluang lain yang lebih besar.

Beliau menjelaskan, ibu bapa hari ini juga semakin tidak melihat garis kaum tetapi kualiti pendidikan buat anak-anak.

"Tahukah bahawa terdapat peningkatan ketara kemasukan pelajar bukan Cina ke sekolah-sekolah Cina dari tahun ke tahun? Ramai ibu bapa Melayu menyumbang kepada peningkatan anak-anak Melayu kita sekali gus mengukuhkan integrasi kaum di sekolah-sekolah Cina.

"Tahun lepas, seorang anak Melayu berusia 17 tahun, Ahmad Kadir Ahmad Nazri merupakan pelajar paling cemerlang di sebuah Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) yang tular," katanya lagi.

Beliau menambah, bukan Ahmad Kadir sahaja yang berjaya dilahirkan dari sekolah Cina, malah lebih ramai lagi termasuk di Sekolah-Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) yang membolehkan anak-anak Melayu, Bumiputera dan India turut mengambil UEC.

"Jika trend ini menunjukkan peningkatan pada tahun-tahun akan datang, adakah Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh dan ahli-ahli politik lain yang hanya memikirkan kepentingan kaum sendiri sahaja ini akan mula berlembut hati menerima UEC?" soalnya.