KUBANG PASU – Seorang remaja perempuan maut manakala rakannya cedera parah selepas motosikal yang dinaiki mereka terbabas sebelum merempuh tiang tanda selamat jalan di sempadan negeri di Jalan Sanglang, di sini pada malam Rabu.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Radzi Abdul Rahim berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10 malam dan mangsa berusia 16 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Menurutnya, rakan mangsa seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 mengalami kecederaan serius di bahagian kepala dan muka.
"Siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari arah Sanglang menghala ke Kangar.
“Setibanya di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang remaja itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar tiang tanda selamat jalan di sempadan negeri," katanya pada Khamis.
Jelas Mohd Radzi, akibat pelanggaran itu, pembonceng perempuan meninggal dunia di tempat kejadian manakala penunggangnya mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk rawatan lanjut.
Menurutnya,hasil siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian penunggang yang gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan ia terbabas.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.