PUTRAJAYA – [KEMAS KINI] Pegawai dan anggota polis perlu memberikan keutamaan terhadap penerimaan laporan orang awam tanpa sebarang halangan, termasuk isu membabitkan pakaian.
Berucap di Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri, Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menekankan bahawa prinsip berpakaian sopan memang menjadi garis panduan.
"Namun ia tidak boleh mengatasi tanggungjawab asas pasukan keselamatan untuk menerima laporan rakyat.
“Berpakaian sopan itu kita pertahankan, tidak ada beza pendapat tetapi tugas utama pasukan polis apa dia? Menerima laporan. Itu tugas dia. Bagaimana keadaan sekalipun, laporan tetap kena ambil. Itu tidak ada basa-basi,” katanya pada Khamis.
Menurut Saifuddin, situasi yang mana orang awam yang datang membuat laporan khususnya kes kecemasan seperti kemalangan terhalang hanya kerana pakaian dikategorikan sebagai ‘tidak sopan’ boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap polis.
“Aku nak ambil report, kemalangan berlaku, aku nak kena bersegera. Yang menjadi kekangan apa dia? Pakaian yang dianggap tidak sopan. Jadi yang mana satu? Nak ambil report lah,” tegasnya.
Beliau berkata, perkara tersebut turut dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri dan disampaikan kepada Ketua Polis Negara dalam mesyuarat pasca kabinet, bagi memastikan arahan diperturunkan dengan jelas kepada lebih 120,000 hingga 130,000 anggota polis di seluruh negara.
Katanya, polis menerima purata 395,000 laporan sebulan, satu angka besar namun merupakan rutin biasa bagi pasukan itu.
“Banyak mana polis terima sebulan? 395,000. Itu biasa. Kerja polis memang ambil report. Sekali berlaku polis tak ambil report, itu jadi nilai berita. Itu kita nak menjawab,” katanya.
Saifuddin sekali lagi menegaskan bahawa inti pati isu tersebut hanya satu laporan awam mesti diterima tanpa kompromi.
“Pokoknya apa? Ambil, terima. Sebab kita berurusan dengan orang awam,” katanya.
Sebelum ini seorang wanita mendakwa tidak dibenarkan memasuki Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin untuk membuat laporan kemalangan, dengan alasan perlu menukar pakaian yang bersesuaian dalam kejadian yang berlaku pada 8 Disember lalu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar mengesahkan insiden tersebut.
Wanita berkenaan dinasihatkan oleh anggota bertugas di pintu masuk balai untuk pulang menukar pakaian yang bersesuaian mengikut etika pemakaian pelanggan sektor awam seperti ditetapkan dalam Surat Pekeliling Ketua Setiausaha Negara bertarikh 1 Disember 2020.