PUTRAJAYA – Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais mengetuai panel tiga hakim, mendengar rayuan akhir pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan yang membebaskan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Ia berhubung sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta atas empat tuduhan penyelewengan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Abu Bakar selaku Hakim Mahkamah Persekutuan bersama dua lagi hakim yang baru mengangkat sumpah pada 3 Disember lalu ialah Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Prosiding bermula tepat jam 9.30 pagi dengan pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharudin Wan Ladin selaku perayu, memulakan hujahan.
Semasa prosiding, panel hakim memberi masa selama tiga jam untuk pihak perayu membuat hujahan, diikuti pihak pembelaan yang mewakili Syed Saddiq, 33, selaku responden diwakili peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik dan Datuk Ambiga Sreevenasan.
Pada 9 November 2023, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azhar Abdul Hamid mensabitkan Syed Saddiq atas keempat-empat pertuduhan dan menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta.
Bagaimanapun, pada 25 Jun lalu, Mahkamah Rayuan membebaskan beliau selepas panel tiga hakim yang diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin mendapati pertuduhan terhadapnya tidak berasas.
Mahkamah turut menyatakan bahawa tindakan memberi arahan untuk mengeluarkan wang tidak boleh dianggap sebagai pelupusan dana.
Berdasarkan pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali, Penolong Bendahari Armada Bersatu, yang diamanahkan dengan dana RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, pada 6 Mac 2020, mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan.
Pertuduhan kedua membabitkan kesalahan menyalahgunakan wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise, antara 8 hingga 21 April 2018, yang dilakukan di Maybank Taman Pandan Jaya, mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.
Dua lagi pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram melibatkan pemindahan RM50,000 setiap satu ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera milik tertuduh, dilakukan pada 16 dan 19 Jun 2018 di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Johor Bahru.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta AMLA 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.