LEGENDA Liverpool, Jamie Carragher membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Mohamed Salah susulan ketegangan yang tercetus membabitkan kritikan pedasnya terhadap bintang Mesir itu baru-baru ini.
Tindakan itu dilakukan Carragher sejurus selepas skuad The Reds menewaskan Inter Milan dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah pada Selasa.
Bercakap secara langsung menerusi siaran CBS Sports, bekas pertahanan kental Liverpool itu membuat kenyataan maaf tersebut selepas ditanya oleh rakan penyampai, Micah Richards.
"Mo, saya minta maaf.
"Saya telah membuatkan anda marah. Saya sayangkan anda sebagai pemain Liverpool, tetapi anda perlu menjaga kelakuan anda di luar padang," ujar Carragher.
Richards sebelum itu mencabar Carragher untuk menjernihkan keadaan selepas rakannya itu melabel Salah sebagai memalukan kerana mengkritik Liverpool dan pengurus, Arne Slot susulan keputusan seri 3-3 menentang Leeds United, Sabtu lalu.
Akibat komen kontroversi itu, Salah telah disisihkan daripada skuad utama ketika kemenangan Liverpool menentang Inter Milan.
Richards bertanya kepada Carragher:"Adakah anda ingin memohon maaf kepada Mo dan hanya katakan maaf atas sebarang rasa tidak hormat? Ia datang daripada semangat anda seorang peminat, teruskan, cakap sahaja pada lensa kamera.
Melihat kepada kesungguhan Carragher, Richards menyifatkan permohonan maaf itu sebagai sesuatu yang tulus dan jujur.
Dalam pada itu, Carragher berpendapat Salah tidak wajar diturunkan menjelang pertembungan Liga Perdana Inggeris menentang Brighton hujung minggu ini sebelum beliau berangkat ke Piala Negara-Negara Afrika (AFCON).
"Saya tidak fikir begitu (Salah akan bermain).
"Ia mungkin memecah-belahkan penyokong dan pengurus. Memandangkan hanya ada satu perlawanan sebelum dia pergi, saya fikir lebih baik dia biarkan dahulu dan lihat keadaan apabila dia kembali dari AFCON nanti," jelasnya.
Carragher turut melihat ketiadaan Salah sebagai peluang keemasan buat Liverpool menguji gandingan baharu melibatkan Alexander Isak, Florian Wirtz, dan Hugo Ekitike.
Menurutnya, perlawanan menentang Brighton adalah masa yang sesuai untuk melihat keserasian tiga pemain tersebut.
"Ini kali pertama kita benar-benar melihat Ekitike dan Isak bersama. Anda pasti fikir Wirtz akan bermula pada Sabtu nanti.
"Saya pernah katakan beberapa minggu lalu, Liverpool mungkin perlu membina pasukan masa depan ketika Salah berada di AFCON. Liverpool sentiasa perlu mencari cara untuk memasukkan pemain bernilai tinggi mereka ke dalam pasukan.
"Jadi saya fikir perlawanan menentang Brighton adalah peluang terbaik untuk menurunkan dua penyerang ini dan letakkan Wirtz di belakang mereka. Ini mungkin gambaran masa depan Liverpool untuk 18 bulan hingga dua tahun akan datang," katanya.