PRESIDEN Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino kini berdepan dakwaan serius apabila dituduh melanggar peraturan badan induk itu susulan sokongan terbukanya terhadap Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Sebuah organisasi hak asasi manusia, FairSquare mendakwa tindakan Infantino memberikan sokongan politik dan menganugerahkan ‘Hadiah Keamanan’ kepada pemimpin AS itu bercanggah dengan prinsip neutraliti FIFA.
FairSquare, sebuah organisasi bukan untung yang berpangkalan di London mengesahkan pihaknya telah memfailkan permohonan agar siasatan dijalankan terhadap Infantino berhubung pelanggaran kewajipan statutori FIFA untuk kekal berkecuali dalam hal politik.
Bagaimanapun, FIFA menyatakan bahawa jawatankuasa etikanya tidak akan memberikan komen mengenai kes yang berpotensi sedang berjalan dan tidak dapat mengesahkan sama ada mereka telah menerima aduan tersebut.
Mengikut kod etika FIFA, pelanggaran kewajipan neutraliti boleh membawa kepada hukuman penggantungan daripada sebarang aktiviti bola sepak sehingga dua tahun.
Namun, pemerhati meragui sama ada kes ini akan dibicarakan memandangkan penyiasat dan hakim etika lantikan FIFA masa kini dilihat kurang bebas berbanding era sebelumnya ketika bekas presiden, Sepp Blatter disingkirkan.
Infantino tahun ini dilihat kerap menyuarakan pandangan menyokong Trump dan polisinya secara terbuka.
Pada Oktober lalu, Infantino menggunakan akaun Instagram miliknya menyatakan Trump pasti layak menerima Hadiah Keamanan Nobel.
Baru-baru ini Infantino menyampaikan anugerah sulung Anugerah Keamanan FIFA kepada Trump di Washington semasa majlis undian Piala Dunia 2026.
Selepas tayangan video mengenai Trump, Infantino dipetik berkata:"Ini adalah apa yang kita mahukan daripada seorang pemimpin... anda sememangnya layak menerima Hadiah Keamanan FIFA yang pertama atas tindakan dan cara luar biasa anda mencapainya. Anda sentiasa boleh mengharapkan sokongan saya, Tuan Presiden," katanya,
Dalam satu temu bual di Miami pada November, Infantino turut menyeru supaya semua pihak menyokong apa yang dilakukan Trump di AS kerana ia kelihatan sangat baik.
Aduan lapan muka surat oleh FairSquare itu turut merujuk kepada hantaran Instagram Infantino pada 20 Januari, hari pelantikan Trump, di mana beliau menyebut:"Bersama-sama kita akan menjadikan bukan sahaja Amerika hebat semula, tetapi juga seluruh dunia."
FairSquare menegaskan bahawa pemberian anugerah seumpama itu kepada pemimpin politik yang sedang berkuasa adalah satu pelanggaran jelas terhadap kewajipan neutraliti FIFA.
Sehingga kini, FIFA tidak menjelaskan bagaimana Infantino mewujudkan anugerah keamanan tersebut, malah sumber dalaman mendakwa hanya mengetahui mengenainya melalui laporan media.
"Jika Infantino bertindak secara unilateral (sendirian) tanpa sebarang kuasa statutori, ini harus dianggap sebagai penyalahgunaan kuasa yang sangat ketara," tegas kenyataan FairSquare.