SUNGAI SIPUT - Lebih 60 generasi kedua peneroka Felda Lasah di sini berdepan tekanan apabila tanaman kelapa sawit mereka diancam gajah liar sejak lebih lima tahun lalu.
Menurut salah seorang peneroka, Zaiton Ahmad, 72, serangan gajah terhadap tanaman penduduk semakin membimbangkan kerana kerap kali berlaku khususnya di kawasan tanaman Peringkat 3.
Jelasnya, keadaan itu menyebabkan tanah peserta yang terlibat tidak dapat dimanfaat sepenuhnya mungkin menyebabkan hasil pendapatan tidak meningkat.
"Saya duduk di rancangan Felda ini sejak tahun 1979. Kehadiran gajah ke ladang ini bukan baru sebab masa awal ditanam pokok getah lagi sudah ada malah pernah terserempak dengan kawanan gajah ini tetapi tidaklah sekerap sekarang selepas tanam kelapa sawit. Belum sempat pokok membesar dah rosak, jadi nak buat sulaman pun tak berbaloi sebab akan rosak balik.
"Pendapatan kami sebulan ketika ini sekitar RM3,000 sedangkan peringkat lain lebih banyak sebab mereka tak ada ancaman gajah. Macam saya ada lebih kurang 293 pokok sawit yang tidak menjadi akibat dirosakkan gajah ini," katanya yang juga seorang ibu tunggal kepada Sinar Harian.
Bagi seorang lagi peneroka, Mohd Ariffin Saidin, 70, turut mengakui kehadiran gajah itu juga bukan sahaja menjejaskan pendapatan, tetapi mengundang kebimbangan dari segi keselamatan kerana dia sendiri pernah terserempak dengan gajah tersebut.
Jelasnya, hampir setiap bulan haiwan liar itu menceroboh masuk ke kawasan ladang untuk mengambil umbut kelapa sawit yang baru ditanam.
Katanya, jika keadaan berterusan tanpa penyelesaian segera daripada pihak berkaitan, peneroka akan terus mengalami kerugian serta menjejaskan keharmonian dalam kalangan masyarakat di Felda tersebut.
"Kami sebenarnya dah buntu sebab masalah ini sudah dibawa ke mesyuarat untuk diselesaikan, namun sehingga sekarang belum ada tanda-tanda untuk diselesaikan segera.
"Sudah ada kata putus namun kita harap pihak yang berkenaan dengarlah rintihan kami dan kerajaan bantulah kami supaya hasil tanaman dapat ditingkatkan lagi," katanya.
Seorang lagi peneroka, Muhammad Kamarulzaman Ismail, 34, pula menjelaskan jika tiada masalah serangan gajah ke atas tanaman itu, peneroka boleh menerima pendapatan sehingga RM6,000 sebulan sekiranya keseluruhan tanah diusahakan secara optimum.
Jelasnya, disebabkan keadaan itu juga terdapat peneroka yang kurang berpuas hati dengan pembahagian hasil pendapatan terutama bagi pemilik lot yang tidak terkesan dengan serangan gajah.
"Memang ada dalam kalangan kami yang tak puas hati sebab hasil perlu dibahagi sama rata sedangkan ladang mereka mengeluarkan hasil yang banyak tetapi terpaksa berkongsi dengan peneroka yang jadi mangsa gajah sebab peringkat lain hasil mereka lebih mewah.
"Kita tak mahu masalah ini berterusan kerana keadaan ini menjejaskan peneroka. Semua peruntukan yang dikeluarkan oleh Felda perlu dibayar semula oleh peneroka, jadi bila pendapatan kurang, maka hutang pun lambat habis," katanya.
Muhammad Kamarulzaman berkata, walaupun terdapat pagar elektrik yang dipasang sejauh 8 kilometer serta dibina parit gajah di kawasan bersempadan dengan Hutan Simpan Piah, haiwan liar itu tetap memasuki kawasan tersebut melalui anak sungai berhampiran.
Tiga permohonan dihantar untuk selesai masalah gajah
Tiga permohonan melibatkan pembinaan pagar elektrik baharu, pengadang sementara serta peruntukan tanaman pokok kelapa sawit baharu di kawasan terjejas akibat serangan gajah telah dihantar kepada pihak berkaitan.
Ketua Peneroka Felda Lasah, Khairuddin Mohamed berkata, semua permohonan dan kertas kerja telah pun kita hantar ke Ibu Pejabat Felda, pejabat Ahli Parlimen Sungai Siput, pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang, kerajaan negeri serta pejabat Perdana Menteri untuk tindakan segera.
Menurutnya, pembinaan pagar elektrik baharu itu bagi menaik taraf infrastruktur sedia ada dengan anggaran kos RM281,000 di samping mendalamkan semula parit gajah berhampiran pagar berkenaan manakala penghadang semula pula dicadang untuk dibina berhampiran enam anak sungai yang dikenal pasti menjadi laluan gajah berkenaan dengan kos RM200,000.
"Kita juga ada hantar permohonan dan kertas kerja bagi melaksanakan kerja sulaman pokok yang menelan belanja RM844,000 untuk tiga tahun di kawasan-kawasan terjejas.
"Hampir setiap tahun permohonan dan kertas kerja ini kami hantar kerana masalah ini perlu penyelesaian segera memandangkan ia berlarutan begitu lama," katanya.
Jelas Khairuddin, pihak peneroka merayu agar kerajaan sama ada di peringkat negeri mahupun Persekutuan dapat membantu menyediakan peruntukan yang dimohon kerana jika pihak Felda meluluskan kesemua peruntukan tersebut, peneroka terlibat terpaksa membayar balik dana tersebut.
Menurutnya, jika sebahagian peruntukan ditanggung kerajaan, tidaklah peneroka menanggung beban hutang terlalu banyak sekali gus meringankan beban.