Kelonggaran etika pemakaian di kaunter kerajaan hanya untuk kes kecemasan - KSN

Iklan
Shamsul Azri menjelaskan, pekeliling berkuat kuasa sejak 20 Januari 2025 itu turut menetapkan keperluan berpakaian sopan dan bersesuaian selaras dengan Rukun Negara kelima, iaitu Kesopanan dan Kesusilaan.

PUTRAJAYA – Kelonggaran etika pemakaian dibenarkan kepada pelanggan yang berurusan di kaunter atau pejabat kerajaan sekiranya berlaku kecemasan atau situasi di luar norma biasa, bagi memastikan mereka tidak dinafikan hak mendapatkan perkhidmatan segera.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, garis panduan itu digariskan dalam Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam (PKPA) Bilangan 1 Tahun 2025 berkaitan Pemantapan Pengurusan Perhubungan Pelanggan Sektor Awam.

Iklan
Iklan

“Panduan ini terpakai kepada semua urusan di kaunter atau pejabat kerajaan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu

Beliau menjelaskan, pekeliling berkuat kuasa sejak 20 Januari 2025 itu turut menetapkan keperluan berpakaian sopan dan bersesuaian selaras dengan Rukun Negara kelima, iaitu Kesopanan dan Kesusilaan.

Iklan

“Kelonggaran itu merangkumi perkhidmatan barisan hadapan seperti keselamatan dan kesihatan yang berhubung terus dengan pelanggan.

“Kelonggaran diberikan bagi kes kecemasan dan luar norma biasa untuk tidak dinafikan hak pelanggan mendapatkan perkhidmatan segera,” katanya merujuk perkara 3.2 Lampiran A PKPA 1/2025.

Iklan

Menurut Shamsul Azri, keadaan kecemasan tersebut termasuk laporan kemalangan, kebakaran dan urusan berkaitan bencana yang mengancam nyawa serta harta benda.

“Urusan sebegini memerlukan tindakan segera tanpa halangan berkaitan etika pemakaian,” katanya.

Tambah beliau, bagi urusan biasa di kaunter atau pejabat kerajaan, Ketua Jabatan diberi budi bicara sewajarnya untuk menentukan pemakaian yang sopan dan bersesuaian berdasarkan garis panduan sedia ada.

“Penilaian ini penting bagi memastikan kesesuaian pelanggan diimbangi dengan garis panduan perkhidmatan awam,” jelasnya.

Shamsul Azri menegaskan bahawa komitmen kerajaan untuk terus memperkukuhkan aspek perhubungan pelanggan di sektor awam.

“Perkhidmatan awam akan terus menambah baik akses dan penyampaian perkhidmatan agar lebih mesra, cekap dan responsif,” ujarnya.

Beliau berkata, usaha itu selaras dengan nilai Madani yang menekankan prinsip ihsan dalam penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

“Kita mahu setiap pelanggan merasai penyampaian perkhidmatan yang berkesan dan berperikemanusiaan,

Terdahulu media melaporkan dua wanita tidak dibenarkan memasuki sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Melaka untuk membuat laporan kerana didapati tidak berpakaian sopan dalam premis itu.

Mereka bagaimanapun datang kembali dengan berpakaian sopan sejurus diberi arahan untuk menukarnya.