KUALA LUMPUR – Taktik sindiket pemalsuan dokumen yang beroperasi dari sebuah kediaman mewah di ibu negara akhirnya terbongkar selepas enam lelaki warga Bangladesh diberkas dalam operasi khas pada Selasa.
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya berjaya menahan seorang lelaki warga Bangladesh yang dikenali sebagai Rayhan dipercayai sebagai dalang utama, dalam serbuan bermula jam 12.35 tengah hari.
"Operasi yang dijalankan sekitar Jalan Chemur dan Jalan Ipoh itu susulan risikan selama dua minggu oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Zakaria berkata, pihaknya telah menahan enam lelaki berusia 23 hingga 45 tahun dalam serbuan itu.
"Semakan awal mendapati empat warga asing tersebut termasuk dalang utama telah tinggal lebih masa.
"Dua orang lagi tidak memiliki sebarang pas atau dokumen perjalanan yang sah untuk berada di negara ini," katanya.
Beliau berkata, pasukan operasi telah menyita 73 pasport pelbagai negara yang disyaki palsu terdiri daripada pasport Myanmar, India, Pakistan, Nepal, Indonesia dan Bangladesh.
"Kita turut menyita borang pemeriksaan kesihatan Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA), cetakan berwarna muka hadapan pasport, satu set komputer dan peralatan yang digunakan dalam kegiatan itu," katanya.
Zakaria berkata, modus operandi sindiket adalah menjalankan kegiatan pemalsuan dokumen dengan menggunakan pasport palsu yang telah diubah suai.
"Sindiket menyasarkan warga asing yang tidak sihat atau tidak layak untuk proses saringan kesihatan.
"Gambar ahli sindiket digunakan pada pasport palsu, manakala maklumat peribadi serta nombor pasport pelanggan dimasukkan bagi mengaburi pihak klinik," katanya.
Menurutnya, setiap pelanggan dikenakan bayaran antara RM100 hingga RM250 untuk pasport palsu dan proses saringan kesihatan.
"Sindiket ini dipercayai aktif sejak enam bulan lalu dan ini merupakan tangkapan keempat melibatkan modus operandi sama tahun ini," katanya.
Beliau berkata, empat suspek ditahan di bawah Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63, manakala dua lagi disiasat mengikut Seksyen 6(3) akta sama.
"Kesemua mereka dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut," katanya.