KUANTAN - Perikatan Nasional (PN) memutuskan untuk tidak meletakkan calon bagi pilihan raya kecil (PRK) kerusi Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, Sabah.
Keputusan itu dimaklumkan Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man ketika ditemui pemberita selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini pada Rabu.
“Semalam kita mengadakan mesyuarat PN, saya hadir dan kita telah membuat keputusan untuk tidak menghantar calon bagi PRK berkenaan.
"Bagaimanapun, kita akan terus memantau perkembangan PRK dan calon yang akan bertanding,” katanya.
Pada Selasa, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan bahawa pihaknya akan mengadakan mesyuarat khas bagi urusan PRK Kinabatangan dan DUN Lamag pada 16 Disember ini.
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, suruhanjaya menerima pemakluman rasmi daripada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, dan Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Kadzim M Yahya, berhubung kekosongan luar jangka bagi kedua-dua kerusi berkenaan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Bung Moktar Radin pada 5 Disember lalu.
Bung Moktar, 66, meninggal dunia di sebuah hospital di Sabah pada jam 1.46 pagi, kurang seminggu selepas dipilih sebagai ADUN Lamag untuk penggal kedua.
Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 Sabah yang diadakan pada 29 November lalu, Bung Moktar, yang juga Pengerusi BN Sabah, berjaya mempertahankan kerusi DUN Lamag dengan majoriti 153 undi dalam saingan enam penjuru.