KUANTAN – Kerajaan Pahang dicadangkan menyediakan subsidi kos input pertanian termasuk baja dan racun perosak bagi meringankan beban pekebun kecil serta memastikan kelangsungan sektor pertanian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanah Rata, Ho Chi Yang berkata, langkah itu bersifat serampang dua mata bagi meringankan beban pekebun yang sering berdepan kos input tinggi.
"Kerajaan menerusi Jabatan Pertanian juga boleh menetapkan bahawa hanya penggunaan sesetengah baja dan racun perosak yang diiktiraf boleh dibeli dengan diskaun sebagai contoh.
“Saya juga memohon pertimbangan kerajaan negeri untuk membantu mengurangkan kos pertanian yang ditanggung oleh para pekebun, dengan memberi pengurangan sewaan tanah yang ditawarkan oleh Pahang Corporation kepada pekebun kecil Cameron Highlands,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi perbahasan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini pada Rabu.
Chi Yang turut berkata, tempoh sewaan tanah lebih panjang perlu ditawarkan kepada pekebun bagi meningkatkan keselamatan pegangan tanah yang boleh menjadi pemangkin kepada pekebun untuk melabur dalam teknologi moden.
“Langkah ini juga bertujuan untuk mempertingkatkan tahap pertanian menuju ke arah pertanian lestari,” katanya.
Menyentuh mengenai kejadian tanah runtuh di Cameron Highlands, Chi Yang memaklumkan seramai 38 penghuni di Blok C, Puncak Arabella masih berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) selepas cerun di kawasan terbabit masih tidak selamat.
Jelasnya, insiden sebegini merupakan peringatan bahawa keselamatan cerun terutamanya di kawasan tanah tinggi perlu diberi perhatian serius.
“Saya juga difahamkan bahawa semua penghuni di Blok C, Puncak Arabella tidak dapat pulang ke rumah disebabkan cerun tidak selamat dan kesemua mangsa masih duduk di PPS.
"Maka, saya memohon agar bantuan sewa rumah boleh diberi kepada mangsa sementara menunggu cerun dibaiki,” jelasnya.
Chi Yang berkata, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan berjumlah RM2.2 juta bagi kerja-kerja pembaikan cerun yang menjejaskan Pangsapuri Arabella dan berharap projek tersebut dapat dilaksanakan segera.
Beliau turut memaklumkan Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang giat memasang sistem amaran awal dan telah mengenal pasti lokasi cerun berisiko.
“Bagi cerun di kawasan perumahan pula, saya menyeru agar kerajaan Persekutuan atau negeri menyediakan peruntukan khas kepada pihak berkuasa tempatan untuk memasang sistem amaran awal tanah runtuh di kawasan berisiko, bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin,” katanya.