JOHOR BAHRU – Tiga remaja lelaki berusia 15 hingga 17 tahun ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam kes samun terhadap seorang pemandu e-hailing dan satu kes kecurian di kawasan Johor Bahru.
Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Azrol Anuar Nor berkata, suspek ditahan pada petang Selasa selepas pihak polis menerima laporan kejadian samun daripada seorang lelaki berusia 47 tahun.
"Pengadu mendakwa telah disamun oleh tiga lelaki tempatan yang menaiki kenderaan e-hailing miliknya.
"Hasil soal siasat mendapati kejadian terbabit berlaku kira-kira jam 7.30 pagi, Isnin ketika mangsa dalam perjalanan menghantar suspek pulang ke rumah," katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, setibanya di sebuah kawasan perumahan di Skudai, suspek meminta mangsa menunjukkan kod QR dengan alasan untuk membuat bayaran tambang melalui aplikasi Touch 'N Go.
"Ketika mangsa menghulurkan telefon bagi menunjukkan kod QR, suspek merampas telefon itu dan melarikan diri.
"Mangsa cuba mengejar suspek, namun tergelincir dan cedera ringan," katanya.
Azrol Anuar berkata, polis turut membuat beberapa rampasan ketika tangkapan dibuat dan dengan penangkapan itu, pihaknya berjaya menyelesaikan dua kes iaitu samun berkumpulan dan kes kecurian yang berlaku pada hari yang sama di Taman Perling di sini.
"Semakan rekod mendapati bahawa ketiga-tiga suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan ujian saringan awal air kencing yang dijalankan terhadap semua suspek didapati negatif penyalahgunaan dadah," katanya.
Menurut Azrol Anuar, ketiga-tiga suspek akan direman bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana kesalahan melakukan samun berkumpulan dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri.