MELAKA - [DIKEMAS KINI] Aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard mendedahkan keadaan kakinya mula melepuh selepas berjalan hampir 80 kilometer dalam misi protes berjalan kaki menuju Mahkamah Johor Bahru.
Perkembangan terbaharu itu dikongsikan menerusi satu hantaran di Facebook pada Selasa.
Beliau berkata, pada mulanya merancang untuk berhenti di Masjid Pekan Merlimau, namun memilih untuk meneruskan perjalanan ke Masjid Al-Abidin, Air Tawar kerana masih mempunyai sedikit tenaga.
“Kehabisan tenaga, saya berhenti berehat dan menunaikan solat di sini. Insya-ALLAH akan teruskan perjalanan selepas Asar.
"Izinkan saya lelap sebentar... kaki sudah mula melepuh selepas hampir 80km,” katanya.
Chegubard turut berkongsi detik menyentuh hati apabila dimaklumkan ibunya dimasukkan semula ke hospital.
“Saya terus membuat panggilan video. Doktor beritahu jangkitan paru-paru menyebabkan mama agak letih untuk bercakap.
"Mama pesan buat apa pun dengan ikhlas dan kalau berjuang, kena bersungguh,” katanya.
Beliau turut mengimbas sumpah kepada arwah bapanya untuk terus berjuang demi rakyat, selain berjanji kepada ibunya untuk segera pulang ke hospital sebaik selesai urusan mahkamah pada Jumaat ini.
Chegubard kini sedang melaksanakan misi ‘Protes Jalan Kaki – Demi Maruah Diri dan Kembalikan Perjuangan ke Tangan Rakyat’ iaitu perjalanan solo menuju Mahkamah Johor Bahru bagi menghadiri sambung bicara kes pendakwaan mengikut Akta Hasutan pada Khamis dan Jumaat ini.
Beliau memulakan perjalanan dari Port Dickson pada Isnin sebelum melalui Melaka dan dijangka bermalam di Muar pada Selasa.
Perjalanan hari ketiganya dijadualkan berakhir di Surau Parit Andin, Parit Yaani, Johor sekitar jam 10.30 malam Rabu.