KUCHING - Seorang penjual sate dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas pertuduhan membunuh pekerjanya iaitu seorang lelaki warga Indonesia yang mayatnya dijumpai di tepi Jalan Lumba Kuda di sini bulan lepas.
Tan Seng Hiang, 35, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Sumarno di Jalan Lumba Kuda, Jalan Penrissen Lama di sini antara jam 1.47 pagi dan 2.37 pagi 25 November lepas mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Majistret Nursyaheeqa Nazwa Radzali menetapkan 27 Januari tahun depan untuk sebutan kes.
Di Mahkamah Majistret berasingan, Lim Hiong Hiap, 60, yang juga pemilik premis di Jalan Sekama yang mana Seng Hiang mengusahakan gerai satenya, turut didakwa atas pertuduhan mengubah bukti dengan mengarahkan seorang lagi individu untuk memadam rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
Hiong Hiap mengaku tidak bersalah, didakwa mengarahkan Goh Moh Seng memadam rakaman CCTV itu di Culture Inn terletak bersebelahan premisnya pada 1 pagi 25 November lepas mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun, jika sabit kesalahan.
Majistret Ling Hui Chuan membenarkan Hiong Hiap diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Januari tahun depan untuk pengurusan kes.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Afiq Safly Nor Kazly dan Ahmad Fauzulutfi Suriani manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Daniel Ling. - Bernama