KUANTAN – Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kenau dijangka siap sepenuhnya pada 27 November 2026, sekali gus mengatasi masalah banjir yang kerap melanda kawasan Sungai Lembing.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek yang dilaksanakan secara kontrak reka dan bina itu bermula pada 28 November 2023 dan fasa reka bentuk telah siap pada 4 Julai lalu.
"Seterusnya, pembinaan projek dimulakan pada 5 Julai lalu dan status kemajuan terkini projek adalah 16.84 peratus berbanding jadual 16.33 peratus, iaitu empat hari lebih awal.
"Ini menunjukkan kemajuan pembinaan projek ini sangat memberangsangkan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Mohamad Ayub Mat Ashri (Pas–Sungai Lembing) yang meminta penjelasan status projek tebatan banjir di Sungai Kenau, Sungai Lembing serta peratus pelaksanaan semasanya.
Wan Rosdy menambah, beberapa tindakan awal telah dilaksanakan sebagai langkah sementara sementara menunggu projek tebatan banjir itu siap sepenuhnya.
Jelasnya, antara tindakan awal tersebut termasuklah kerja-kerja pengorekan, pendalaman serta pengempangan air di Sungai Kenau.
“Kerja-kerja awal ini penting supaya air dapat mengalir dengan lancar dan tidak berlaku banjir sementara menunggu projek siap sepenuhnya,” katanya.