KUALA LUMPUR – Seorang penunggang motosikal sanggup membelanjakan hampir RM11,000 untuk mengubah suai kenderaannya, namun ia dikesan gagal memenuhi spesifikasi keselamatan.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPJ WPKL), Hamidi Adam berkata, motosikal terbabit merupakan antara empat buah motosikal yang disita dalam satu operasi khas di ibu negara pada Ahad.
“Dalam operasi itu, sebanyak 65 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, antaranya ubah suai ekzos ekstrem, nombor pendaftaran fancy, lesen kenderaan tamat tempoh, tiada lesen memandu, tiada insurans, tiada brek belakang serta nombor pendaftaran palsu,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Hamidi berkata, operasi yang dijalankan dari jam 2 pagi hingga 5 pagi itu melibatkan lapan anggota JPJ dan 12 anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Skuad 42.
“Kami turut mengesan penunggang motosikal yang menggunakan 'cable tie' sebagai pengikat brek, selain kesalahan lesen kenderaan motor tamat tempoh sejak 2011, dan seorang penunggang lain mempunyai 11 saman lampau yang masih belum diselesaikan,” katanya.
Beliau berkata, individu yang terlibat datang dari Negeri Sembilan, Kuala Selangor, Klang dan sekitar Lembah Klang.
“Mereka dipercayai berkumpul di pusat bandar untuk aktiviti berisiko tinggi pada lewat pagi,” katanya lagi.
Hamidi turut menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan terhadap motosikal ubah suai akan dipertingkatkan pada tahun 2026, khususnya di kawasan 'hotspot' pusat bandar.
“Kami akan meneruskan operasi ini sehingga penghujung tahun, dengan tumpuan pada waktu-waktu ‘panas’ ketika aktiviti kumpulan itu berlaku.
“Orang awam boleh menyalurkan maklumat berkaitan pelanggaran undang-undang melalui aplikasi MyJPJ (e-Aduan) atau e-mel aduantrafik@jpj.gov.my bagi membantu pihak berkuasa melaksanakan tindakan penguatkuasaan dengan lebih berkesan,” ujarnya.