Wanita warga emas kritikal, melecur seluruh badan tong gas meletup

Iklan
Seorang wanita warga emas melecur hampir seluruh badan dalam kejadian letupan tong gas di sebuah rumah di Taman Kledang Emas, Ipoh pada Jumaat. FOTO: JBPM Perak

IPOH – Seorang wanita warga emas melecur hampir seluruh badan dalam kejadian letupan tong gas di sebuah rumah di Taman Kledang Emas di sini pada Jumaat.

Kejadian sekitar jam 4 pagi itu berlaku ketika mangsa berusia 63 tahun bersama dua anaknya berada di rumah dua tingkat tersebut.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, berdasarkan keterangan, sebelum kejadian, anak perempuan mangsa yang berada di tingkat atas rumah terhidu bau gas yang kuat.

Dia kemudiannya mengejutkan ibu dan adik untuk keluar dari rumah sebagai langkah berjaga-jaga.

Iklan

"Dalam cubaan keluar dari rumah, warga emas terbabit dipercayai cuba menutup injap tong gas sebelum berlaku letupan secara tiba-tiba sehingga mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan serius," katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati letupan mungkin berpunca daripada gas yang terkumpul di dalam rumah berkenaan.

Iklan

Katanya, letupan bukan sahaja mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan melecur di muka dan hampir seluruh badan, malah pintu kaca hadapan rumah turut pecah dan besi jeriji tercabut akibat impak letupan.

"Mangsa kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh dan berada dalam keadaan kritikal selepas ditidurkan bagi rawatan lanjut.

"Dalam kejadian ini, kedua-dua anak mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.