Caruman tamat tempoh: Penghantar p-hailing maut tidak layak tuntut SKSPS

Iklan
Pertubuhan Tenaga GiG Melaka (Tenaga GiG) menziarahi keluarga Allahyarham di kediaman nenek beliau, Ramlah Johari.

SHAH ALAM – Penghantar p-hailing, Muhammad Izzat Daanish Sharil, 22, yang meninggal dunia susulan terlibat dalam kemalangan pada Sabtu didapati tidak layak untuk menerima tuntutan faedah di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).

Pengerusi Pertubuhan Tenaga GiG Melaka, Muhammad Nazli Zainul Abidin berkata, perkara itu berlaku kerana caruman SKSPS Allahyarham telah tamat tempoh pada 28 April 2025.

Iklan
Iklan

Menurutnya, situasi itu amat mengecewakan, lebih-lebih lagi apabila insiden sebegini melibatkan individu yang bekerja dalam sektor berisiko tinggi.

“Kami juga telah berhubung dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi menyemak status caruman SKSPS Allahyarham.

Iklan

“Namun, kami dimaklumkan bahawa caruman Allahyarham telah tamat tempoh.

“Allahyarham merupakan anak bongsu daripada dua beradik dan sedang menjaga ibunya yang menghadapi masalah kesihatan.

Iklan

“Kami difahamkan Allahyarham tidak dapat membayar caruman tersebut berikutan kenaikan mendadak selepas kerajaan menghentikan subsidi bagi sektor e-hailing dan p-hailing,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini, industri ekonomi gig dikejutkan dengan kemalangan yang meragut nyawa Muhammad Izzat Daanish.

Allahyarham ketika itu sedang menjalankan tugas sebagai Rakan Penghantar GrabFood Malaysia sebelum terlibat dalam insiden tragis apabila dihempap pokok tumbang ketika melalui kawasan Ayer Keroh, Melaka.

Tambahnya, kenaikan kadar caruman tersebut menjadi punca utama ramai rakan penghantar gagal memperbaharui perlindungan di bawah SKSPS.

“Pada tahun 2024, penghantar p-hailing dan pemandu e-hailing hanya perlu membayar RM23.30 setahun.

“Namun, pada tahun 2025, mereka perlu membayar RM70.00 setahun, iaitu kenaikan sebanyak 200 peratus.

“Subsidi tersebut tiba-tiba dihentikan dan PERKESO hanya mengeluarkan kenyataan selepas rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kami, Penghantar mengutarakan isu ini.

“PERKESO sepatutnya lebih cakna dengan memaklumkan lebih awal supaya rakan e-hailing dan p-hailing dapat bersedia jika tiada lagi subsidi daripada kerajaan, dan bukannya hanya memberi reaksi selepas menerima pertanyaan daripada rakan NGO,” jelasnya.

Pertubuhan Tenaga GiG Melaka turut menggesa Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) untuk mengambil tanggungjawab atas kemalangan yang meragut nyawa Muhammad Izzat.

Muhammad Nazli juga menggesa pihak MBMB untuk menyegerakan dan mempermudahkan semua proses tuntutan bagi membantu serta menjamin kebajikan waris Allahyarham.

“Kami juga ingin menyeru pihak berkuasa tempatan agar mempertingkatkan pemantauan serta penyelenggaraan pokok-pokok besar dan uzur yang berpotensi membahayakan pengguna jalan raya.

“Langkah pencegahan awal amat penting bagi mengelakkan tragedi seumpama ini, khususnya kepada mereka yang saban hari berada di jalan raya demi mencari rezeki buat keluarga,” ujarnya.