'Jika Shamsul Anuar dilantik menteri Kabinet, itu hak prerogatif PM' - Saarani

Iklan
Saarani (duduk, dua dari kiri) menyantuni orang ramai yang hadir ke Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Siri 8/2025 di Stadium Indera Mulia di sini pada Isnin.

IPOH - Pelantikan mana-mana ahli Parlimen sebagai menteri Kabinet merupakan hak mutlak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, biarpun ada pihak menyatakan sokongan agar Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dilantik sebagai menteri penuh, namun ia merupakan hak prerogatif Perdana Menteri.

Iklan
Iklan

Menurutnya, jika Shamsul Anuar dipilih menganggotai Kabinet ia sesuatu yang menggembirakan.

"Itu (lantikan menteri) adalah prerogatif Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, kita tak tahu tapi tak tahulah kenapa-kenapa ramai sangat orang mencadangkan Datuk Shamsul itu. Kalau dipilih menjadi menteri penuh, alhamdulillah dia pun pernah jadi menteri sebelum ini.

Iklan

"Jadi kalau Yang Amat Berhormat Perdana Menteri terbuka hati nak melantik Datuk Shamsul sebagai menteri penuh, saya menyokong 101 peratus," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Siri 8/2025 di Stadium Indera Mulia di sini pada Isnin.

Iklan

Pada 4 Disember lalu, Sinar Harian melaporkan Bekas Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker mencadangkan Shamsul Anuar yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri mengisi Kabinet baharu kerajaan.

Menyuarakan pandangannya, Lian Ker menyifatkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu seorang individu berprinsip parti, teladan ahli politik Melayu lama dan UMNO yang ikhlas serta rendah diri.

Dalam perkembangan lain, Saarani memaklumkan Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan akan diteruskan pada tahun hadapan dengan mengekalkan format sama.

Jelasnya, pada tahun 2025 sebanyak lapan siri program berkenaan berjaya diadakan di beberapa daerah di negeri ini selain di Ipoh.

"Pada hari ini sebanyak 185 aduan telah diterima, meliputi pelbagai isu dan permasalahan yang dihadapi oleh rakyat.

"Setakat siri ketujuh, kita telah berjaya mengumpulkan sejumlah 940 aduan, dengan 712 daripadanya (76 peratus) telah diselesaikan, manakala baki 228 aduan (24 peratus) masih dalam proses tindakan lanjut," katanya.

Saarani berkata, pendekatan turun padang melalui program tersebut mengukuhkan komunikasi dua hala antara pentadbiran negeri dan rakyat

Katanya, ia mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri untuk memahami keperluan masyarakat secara menyeluruh meliputi kawasan bandar hingga luar bandar.