PEKAN - [KEMAS KINI] Seorang lelaki warga emas cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Unser yang dipandunya hilang kawalan dan melanggar tiang sebuah gerai makan di Kampung Kuala Pahang, pada pagi Isnin.
Dalam kejadian itu, pemandu yang merupakan lelaki berusia 60 tahun mengalami kecederaan di tangan dan kepala.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Peramu, Pekan bergegas ke lokasi dengan dua jentera sebaik menerima laporan mengenai kejadian kira-kira jam 7.47 pagi.
“Kita didapati sebuah MPV jenis Toyota Unser dalam keadaan hampir terbalik selepas melanggar tiang kedai makan berkenaan.
"Mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum dihantar ke Hospital Pekan untuk menerima rawatan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, pihak bomba kemudiannya memutuskan bekalan elektrik pada bateri kereta dan memasang pita keselamatan di lokasi kejadian bagi tujuan keselamatan.
"Operasi dikawal sepenuhnya dan tamat pada jam 8.30 pagi dan kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mohd Zin berkata, tiada laporan polis diterima berhubung kejadian itu dan difahamkan ia telah diselesaikan sesama sendiri.