Paip usang sepanjang 573.1 km di Pahang akan diganti

Iklan
Wan Rosdy

KUANTAN - Kerajaan Pahang akan melaksanakan kerja-kerja penggantian paip usang sepanjang 573.1 kilometer (km) di seluruh negeri bagi mengurangkan kadar Air Tidak Berhasil (NRW) daripada 47.5 peratus kepada 39.5 peratus.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pelaksanaan berskala besar itu akan dilaksanakan secara berfasa sehingga 2030 bagi menangani kebocoran yang selama ini menjadi antara penyumbang utama kehilangan air terawat.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, beberapa strategi lain turut dilaksanakan termasuk pembinaan District Metering Area (DMA) dan Pressure Management Area (PMA) bagi membantu mengesan kebocoran dengan lebih efisien.

"Kerajaan negeri melalui PAIP sentiasa menitik berat usaha dan fokus bagi meningkatkan mutu perkhidmatan air di Pahang.

Iklan

"Jumlah 526 DMA dibangunkan merangkumi semua daerah utama termasuk Kuantan (110), Bera (62), Jerantut (52), Lipis (51), Temerloh dan Maran (46 setiap satu), Cameron Highlands (40), serta Pekan, Raub dan Bentong (22–24 setiap satu).

"Keseluruhan projek menelan kos RM105.2 juta, dijangka menjimatkan 45.4 juta liter air sehari, dengan potensi pengurangan NRW sekitar 3.5 peratus," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Su Keong Siong (DAP-Ketari) mengenai sasaran pengurangan NRW pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini pada Isnin.

Wan Rosdy memberitahu, penukaran paip-paip usang itu membabitkan daerah Lipis sepanjang 131 km, Kuantan (95.5 km), Jerantut (73 km), Raub (65.7 km), Rompin (46.2 km) dan Maran (42.5 km).

"Penukaran paip di Pekan sepanjang 34.5 km, Bentong (31 km), Temerloh (30 km), Bera (23 km) dan Cameron Highlands (0.7 km)," katanya.