Ahli Parlimen Padang Serai didakwa subahat kes rasuah RM400,000

Iklan
Azman (dua dari kiri) yang memakai kot berwarna kelabu, hadir ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Isnin bagi menghadapi satu kes subahat rasuah.

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, atas satu pertuduhan bersubahat berhubung kes rasuah RM400,000 dalam projek penternakan lembu milik kerajaan negeri Kedah, lima tahun lalu.

Azman, 53, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Datuk Mohd Nasir Nordin.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, bapa kepada lima anak itu didakwa bersubahat dengan seorang ahli perniagaan, Amar Assuat Abu Bakar, 41, untuk melakukan kesalahan menerima suapan, RM400,000 daripada seorang ahli perniagaan berusia 39 tahun.

Ia sebagai upah membantu lelaki itu mendapatkan Projek Usahasama Ternakan Lembu Pedaging Secara Fidlot di Ladang Fidlot Kedah Agro, Mukim Sungai Laka, Kubang Pasu, Kedah daripada Kedah Agro Holding Berhad (KAHB).

Iklan

Kesalahan tersebut telah dilakukan hasil persubahatannya dengan mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif KAHB untuk mengeluarkan surat tawaran kepada lelaki itu bagi projek tersebut.

Kesalahan didakwa dilakukan di tepi jalan berhadapan pejabat sebuah syarikat di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi, di sini jam 5 petang 23 Jun 2020.

Iklan

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 28 (1) (c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, dibaca bersama Seksyen 16(a)(A) akta sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta serupa.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Muaz Ahmad Khairuddin mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Bagaimanapun, Surendran merayu anak guamnya dikenakan hukuman minimum dengan alasan, ahli politik itu perlu menyara lima anak dan ibu yang berusia 82 tahun di Sungai Petani.

"Anak guam telah menjadi wakil rakyat di negeri itu selama beberapa penggal yang mana sebelum ini beliau juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Lunas.

"Mengambil kira latar belakangnya, saya mohon mahkamah tidak mengenakan syarat tambahan tersebut," katanya yang hadir bersama peguam-peguam, Nizamuddin Abdul Hamid, Sasha Lyna Abdul Latif dan Shahid Adli Kamarudin.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Mohd Nasir membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM75,000 dengan seorang penjamin dan memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 13 Januari 2026.

Sinar Harian melaporkan, SPRM menahan ahli Parlimen terbabit Khamis lalu bagi siasatan kes usaha sama ternakan lembu milik kerajaan negeri sementara seorang ahli perniagaan telah ditahan Mac lalu namun dilepaskan dengan jaminan.

Siasatan yang dijalankan sejak bulan Februari, melibatkan dakwaan penerimaan wang ratusan ringgut sebagai balasan membantu mendapatkan hak penggunaan tanah untuk projek fidlot.