BEKAS pemain tengah Liverpool, Danny Murphy membidas tindakan Mohamed Salah yang memilih untuk meluahkan ketidakpuasan hatinya secara terbuka susulan keputusan seri 3-3 menentang Leeds United pada Ahad.
Kritikan itu hadir selepas bintang Mesir tersebut mendakwa dirinya seolah-olah dianiaya oleh pihak pengurusan kelab setelah disisihkan daripada skuad utama dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris itu.
Bercakap dalam program Match of the Day, Murphy menyifatkan tindakan Salah itu sebagai tidak wajar kerana ia hanya akan mengeruhkan keadaan serta memberi tekanan tidak perlu kepada pengurus dan pasukan.
"Ketuklah pintu bilik pengurus, jumpa pemilik kelab, atau buat apa sahaja yang perlu untuk luahkan kekecewaan anda (secara tertutup).
"Dengan melakukan perkara ini secara terbuka, dia sebenarnya menimbulkan masalah kepada pasukan dan pengurus, malah menjadikan isu ini tertumpu mengenai dirinya semata-mata.
"Sama ada anda bersetuju dengan dia atau tidak, anda tidak boleh menanganinya dengan cara begini," katanya.
Menurut Murphy, status sebagai pemain bintang tidak bermakna seseorang itu terlepas daripada penilaian prestasi semasa.
"Setiap pemain perlu berjuang untuk merebut tempat dan mempamerkan prestasi pada tahap tertentu. Ramai lagi pemain nama besar yang menerima kritikan dan berdepan kemarahan peminat. Semua orang sedang dinilai," ujarnya.
Mengulas mengenai masa depan penyerang itu, Murphy berharap kemelut tersebut dapat diselesaikan dengan baik agar legasi Salah di Anfield tidak tercemar, namun tidak menolak kemungkinan perpisahan lebih awal.
"Saya fikir dia akan bermain semula dan mempunyai masa untuk bertenang. Semua orang mahu melihat legenda seperti Salah pergi dengan cara baik, mungkin pada akhir musim.
"Saya harap ia tidak berakhir dengan buruk mengenangkan segala jasa yang telah dia berikan. Namun, jika dia berkeras mahu pergi, mungkin kita akan melihat sesuatu berlaku pada jendela perpindahan Januari nanti," katanya.