PENGASAS Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia (Semboyan), Yusuf Azmi tewas kepada petinju Indonesia, Yunus Martin dalam acara kemuncak Warzone World Championship (WWC) pada Ahad malam.
Kejohanan WWC International Influencer Super Lightweight Championship yang berlangsung di N9 Arena Nilai, Negeri Sembilan itu menyaksikan Yusuf, 35, bermula garang seawal pusingan pertama.
Yusuf yang mendapat sorakan luar biasa daripada penonton bermula garang dengan melepaskan beberapa kombinasi padu namun belum cukup untuk menumbangkan Yunus.
Namun di pusingan kedua, strategi Yusuf yang memulakan pertarungan dengan 'gear enam' di pusingan awal memakan diri apabila dia kelihatan mula keletihan.
Sebaliknya, Yunus, 30, berjaya melepaskan kombinasi tumbukan yang menghasilkan mata demi mata.
Di pusingan ketiga, faktor keletihan dan kecergasan jelas mengganggu rentak Yusuf atas gelanggang.
Situasi itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh Yunus dengan asakan bertali arus yang gagal dikekang Yusuf.
Ketika Yusuf terhuyung-hayang, pasukannya melemparkan tuala putih ke dalam gelanggang memaksa pengadil menamatkan pertarungan yang berbaki 22 saat di pusingan ketiga.
Yunus diisytihar menang menerusi tecnical knockout (TKO) sekali gus kemenangan sulungnya di bumi Malaysia.
Sebelum ini penganjur WWC mencetuskan kontroversi menerusi gimik pemasaran yang mengundang kecaman ramai.
Kontroversi itu mendapat perhatian Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) yang mengancam untuk membatalkan Kejohanan tersebut kerana mendakwa ia tidak mendapat kelulusan.
Bagaimanapun seminggu lalu KBS dan pesuruhjaya sukan (PJS) memberikan lampu hijau untuk kejohanan tersebut diteruskan.