Banjir Sungai Golok: Isyarat jelas pendekatan sedia ada tidak mencukupi

Iklan
Penduduk Rantau Panjang meredah air untuk melakukan aktiviti harian mereka susulan beberapa kawasan sekitar Rantau Panjang mula dinaiki air akibat limpahan air Sungai Golok November lalu. - Foto: Bernama

BANJIR didefinisikan sebagai limpahan air yang melebihi kapasiti sungai atau sistem saliran, sehingga menenggelamkan kawasan penempatan, pertanian dan infrastruktur awam.

Ia bukan sekadar fenomena alam, tetapi krisis kemanusiaan yang mengancam kesejahteraan rakyat, memusnahkan sumber pendapatan, merencatkan ekonomi setempat dan dalam kes ekstrem, memaksa penduduk kehilangan tempat tinggal.

Iklan
Iklan

Bagi ribuan penduduk di sepanjang Sungai Golok, banjir bukan lagi kejadian bermusim, tetapi trauma tahunan yang terus menghantui kehidupan mereka.

Pembinaan Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) yang bermula sejak 2021 pada awalnya digambarkan sebagai ‘penyelamat besar’ bagi Kelantan, khususnya di kawasan sempadan Malaysia - Thailand yang saban tahun berdepan limpahan Sungai Golok.

Iklan

Dengan kos melebihi RM2 bilion dan melibatkan tiga fasa, projek ini dijanjikan mampu mengurangkan risiko banjir secara signifikan apabila siap sepenuhnya. Namun, realiti yang dihadapi penduduk adalah sebaliknya.

Mengikut rekod Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) pada 2024, Pasir Mas dan Tumpat masing- masing melibatkan kerugian sektor kediaman, berjumlah RM46.2 juta serta RM31.7 juta, sekali gus menjadi banjir terburuk sepanjang empat tahun sejak projek itu mula dibina.

Iklan

Melihat kepada kesan tersebut, timbul persoalan dalam kalangan penduduk, adakah projek yang mencecah lebih RM2 bilion itu benar-benar menyelesaikan masalah atau sekadar menambah derita baharu kepada penduduk di sepanjang Sungai Golok.

Kebimbangan rakyat tidak boleh dipandang remeh. Kerajaan perlu mengambil beberapa langkah mendesak termasuk melaksanakan audit bebas kemajuan projek.

Kerajaan juga perlu memastikan bahawa PLSB tidak hanya menjadi projek yang gah di atas kertas, tetapi benar-benar berfungsi sebagai sistem perlindungan banjir yang efektif dan berdaya tahan.

Insiden banjir yang terus melanda kawasan sekitar Sungai Golok menjadi isyarat jelas bahawa pendekatan sedia ada tidak mencukupi.

PLSB, walaupun penting, tidak boleh dijadikan alasan untuk menangguhkan tindakan segera yang diperlukan bagi menjaga keselamatan dan nyawa penduduk.

Kerajaan harus menjadikan situasi ini sebagai amaran bahawa penyelesaian menyeluruh dan lebih bertanggungjawab amat diperlukan.

Jika langkah tegas tidak diambil sekarang, rakyat akan terus menjadi mangsa pembangunan yang sepatutnya melindungi mereka.