KOTA BHARU – Pembinaan benteng di sepanjang Sungai Golok merupakan komponen utama dalam mitigasi banjir Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) dan direka berdasarkan analisis kejuruteraan terperinci.
Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan, Ir Dr Siti Fairus Zakaria berkata, benteng berfungsi membendung limpahan air sungai ketika banjir, manakala terusan atau lencongan air pula adalah komponen tambahan sebagai langkah back up sekiranya berlaku keadaan luar jangka.
“Dalam reka bentuk PLSB Sungai Golok, pembinaan terusan atau lencongan turut dipertimbangkan. Namun analisis teknikal mendapati fasa pembinaan benteng memberi keberkesanan setara dengan pembinaan terusan,” katanya.
Jelas beliau, keperluan membina terusan akan diteliti semula pada masa depan bergantung kepada perubahan iklim semasa serta keadaan sebenar di tapak, khususnya jika ia diperlukan untuk meningkatkan keberkesanan keseluruhan projek.
Menurutnya, setiap projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) atau PLSB mempunyai sasaran reka bentuk, keberkesanan dan kos pembinaan yang ditetapkan sejak awal perancangan.
“PLSB Sungai Golok direka bentuk untuk mencapai sasaran 50 ARI (Average Recurrence Interval) dan keberkesanannya hanya dapat dirasai selepas semua komponen projek siap sepenuhnya,” katanya.
Bagaimanapun katanya, PLSB masih belum dapat disiapkan mengikut jadual ekoran beberapa cabaran teknikal serta proses pengambilan tanah yang perlu mengambil kira kepentingan penduduk yang terkesan setiap kali Monsun Timur Laut.
Beliau berkata, buat masa ini, Fasa 1 dan Fasa 3 PLSB Sungai Golok sedang giat dilaksanakan, manakala Fasa 2 berada di peringkat perolehan.
“JPS yakin manfaat mitigasi banjir di Lembangan Sungai Golok akan dapat dinikmati sepenuhnya apabila ketiga-tiga fasa siap. Namun keberkesanannya turut bergantung kepada kadar curahan hujan yang berada di bawah paras 50 ARI,” katanya.